SKUAD Jerman menewaskan Mexico dengan kemenangan 3-1 dalam Kumpulan F Piala Dunia B-17 2023. Sementara itu, Korea Selatan B-17 dijinakkan oleh Amerika Syarikat (AS).

Dua perlawanan Piala Dunia B-17 2023 itu diadakan serentak di dua lokasi berbeza pada Ahad.

Di Stadium Si Jalak Harupat, Soreang, Kabupaten Bandung, Jerman mendahului 2-0 pada separuh masa pertama, menerusi jaringan Noah Darvich pada minit ke-29 dan Max Moerstedt minit ke-38. Kemudian, Eric Da Silva Moreira menambah jaringan kepada 3-0 minit ke-53.

Mexico sempat mengurangkan defisit kepada 1-3 pada minit ke-75 menerusi tandukan Tahiel Jimenez.

Sementara itu di Stadium Antarabangsa Jakarta, perlawanan Korea Selatan dan AS dalam Kumpulan E berlangsung sengit. Nimfasha Berchimas meletakkan AS di hadapan pada minit ke-7, tetapi Kim Myeong-jun membalas pada minit ke-35.

https://

Pada separuh masa kedua, AS mendahului semula 2-1 menerusi jaringan Cruz Medina empat minit selepas rehat. Berchimas kemudian memberikan kemenangan AS, dengan gol keduanya pada minit ke-75.

Kemenangan ke atas Korea Selatan meletakkan AS kekal bersama Perancis, yang sebelum ini menewaskan Burkina Faso 3-0. AS berada di tangga kedua Kumpulan E dengan pungutan tiga mata, di belakang Les Bleus yang unggul dengan perbezaan gol.