SAMBUTAN tahun baharu yang agak berlainan akan berlangsung di Stadium Kedah Darul Aman iaitu sebagai saksi kepada acara sukan bersejarah, pada 30 Disember 2023.
Acara yang tidak hanya bertujuan untuk menyambut Tahun Baharu dengan penuh semangat, tetapi ianya juga sebagai satu inisiatif bagi mempromosikan tahun melawat Bandaraya Alor Setar 2024 kepada masyarakat setempat.
Difahamkan bahawa acara yang bakal dianjurkan oleh OHR Marketing Sdn Bhd (Olive House) iaitu rakan strategik Kedah FC telah mendapat kerjasama juga daripada Kedah Medical Centre, DBC Physiotherapy dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
Antara objektif yang ingin di ketengahkan dalam acara ini adalah untuk mendorong penyertaan peserta dalam aktiviti larian dan kayuhan sekali gus meningkatkan kesihatan fizikal dan mental peserta.
Menariknya, acara ini juga merupakan satu dorongan yang baik buat peserta kerana penganjur akan memberikan bantuan kepada golongan asnaf dan anak yatim sempena “Program Back to School” sesi 2024.
Jelas bahawa ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara komuniti melalui penyertaan bersama dalam program larian dan kayuhan yang bakal diadakan akhir tahun ini.
Sementara itu, setiap penyertaan juga akan diberikan jersi acara, pingat buat para peserta, hadiah menarik buat pemenang ‘Top 10’ dan lebih meriah lagi dengan adanya pertandingan cabutan bertuah.
Jadi, masih belum terlambat buat semua rakyat Kedah untuk menyertai acara ini sekali gus menghangatkan lagi suasana di Stadium Darul Aman dengan membawa semangat kesukanan yang tinggi.