MAMPUKAH skuad kebangsaan merealisasikan impian Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin untuk melihat Harimau Malaya menang ke atas Republik Kyrgyz dalam aksi pembukaan Kumpulan D Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Khamis.

Di atas kertas, sememangnya Republik Krygyz dilihat mempunyai ranking dunia yang lebih tinggi — 97 berbanding Malaysia di ranking 137 namun berdasarkan situasi semasa, anak-anak buah Kim Pan-gon dilihat mempunyai kelebihan untuk mencatat kemenangan.

Bermain di gelanggang sendiri dengan sorakan penyokong setia di belakang akan menjadi satu nilai tambah buat Harimau Malaya untuk memastikan tiga mata pertama berjaya diraih sebelum terbang ke Taipei untuk aksi kedua pada 21 November 2023.

Melihat kepada senarai pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat, skuad kali ini dibarisi pemain-pemain yang terbaik di setiap posisi meskipun Pan-gon memilih lima muka baharu yang dijangka bakal memperkukuhkan lagi barisan sedia ada selain menambah persaingan dalam skuad untuk mengelakkan rasa selesa.

Di posisi penjaga gol, Syihan Hazmi diletakkan sebagai pilihan utama dengan dua penjaga gol muda, Azri Ghani dan Sikh Izhan bersedia untuk menggalas tugas sekiranya diperlukan dengan kedua-dua mereka mempunyai pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.

Posisi pertahanan pula memperlihatkan sembilan pemain akan membuktikan kemampuan masing-masing untuk mengisi tugasan benteng berempat dengan gandingan Dion Cools, Shahrul Saad, Matt Davies dan Corbin Ong mungkin menjadi pilihan Pan-gon untuk menghentikan asakan pemain Republik Kyrgyz.

10 pemain pula akan merebut tiga atau empat tempat sebagai jentera tengah Harimau Malaya dengan keberkesanan permainan pantas dan kekentalan seorang ‘defensive midfielder’ menjadi kehendak barisan kejurulatihan bagi mengimbangi serangan dan pertahanan serta transisi perlawanan.

Kehadiran Afiq Fazail dalam skuad sememangnya dinantikan para penyokong kerana ketenangan dan visi yang ada padanya ketika beraksi di peringkat kelab dituntut untuk membantu Harimau Malaya memecah benteng lawan dan membantu pemain serangan.

Khidmat Nooa Laine, Afiq Fazail, Stuart Wilkin dan Paulo Josue mungkin digunakan pada perlawanan ini sambil dibantu Faisal Halim dan Arif Aiman di bahagian sayap untuk melakukan serangan dengan Darren Lok sekali lagi akan diturunkan sebagai penyerang tunggal.

Berdasarkan kesebelasan ini dan ditambah kekuatan di bangku simpanan, penyokong boleh mengharapkan satu persembahan yang menarik dan Malaysia boleh memperolehi tiga mata berharga untuk memulakan kempen kelayakan dengan langkah kanan.

Setakat ini hampir 6,000 tiket telah terjual, jadi mari ramai-ramai kita kuningkan Stadium Nasional Bukit Jalil dan menjadi saksi Harimau Malaya menerkam lawan untuk meraih kemenangan sekali gus memperbaiki ranking dan membuka laluan lebih cerah ke Piala Asia 2027.