KETIKA skuad kebangsaan dalam fasa persiapan terakhir untuk memulakan kempen Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Krygyz pada Khamis, ramai penyokong yang tertanya-tanya bagaimanakah keadaan permukaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Penukaran padang jenis Zeon Zoysia di stadium ini telah mendapat kurniaan dari Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Mac 2022 bagi memastikan ianya mempunyai padang dengan rumput yang berkualiti tinggi sesuai dengan kehendak bola sepak moden.

Namun, stadium kebanggaan negara yang digelar ‘Home of Harimau Malaya’ itu menjadi tumpuan dunia apabila keadaan padang yang masih belum matang digunakan ketika kejohanan Pestabola Merdeka 2023 bulan lalu yang menyebabkan pasukan berbanding gagal mempamerkan aksi yang baik.

Pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah mengeluarkan kenyataan menjamin padang akan berada dalam keadaan baik selepas mengambil kira pandangan kontraktor rumput dan ianya sesuai untuk permainan bola sepak antarabangsa.

Kebimbangan ini dijawab sendiri oleh Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac yang memuat naik hantaran di insta story peribadinya yang menunjukkan keadaan terkini padang dan ianya kelihatan baik.

Pihak PSM juga telah mengadakan lawatan ke Stadium Sultan Ibrahim untuk mempelajari cara pengurusan stadium kerana stadium milik Johor Darul Ta’zim itu mempunyai kepakaran menjaga padang jenis Zeon Zoysia itu.

Skuad kendalian Kim Pan-gon akan bertemu Republik Krygyz dan berharap dapat mengutip tiga mata penuh untuk memulakan kempen dengan langkah kanan serta mencerahkan peluang untuk layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.