SKUAD kebangsaan mencatat kemenangan bergaya mengatasi Turkmenistan 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan E Kelayakan Akhir Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tiga gol pada babak pertama oleh Safawi Rasid, Faisal Halim dan Corbin Ong sudah cukup untuk memberikan tiga mata berharga buat Harimau Malaya sekaligus mendahului kumpulan menerusi perbezaan jaringan.

Lebih 21,000 penyokong bergembira pada minit ke-11 apabila Safawi berjaya merembat masuk bola lantunan hasil hantaran lintang Arif Aiman untuk gol ke-17 di peringkat antarabangsa.

 

Safawi buka jaringan pertama.

Tidak sampai lima minit, Stadium Nasional Bukit Jalil bergemuruh sekali lagi apabila Faisal  berjaya menggandakan kedudukan Malaysia apabila menjaringkan gol hasil kesilapan pemain pertahanan Turkmenistan yang ditekan hebat Safawi.

Ketika Malaysia ghairah menyerang, Dion Cools melakukan kesilapan apabila tandukan kebelakangnya mengelirukan Farizal Marlias dan Annadurdyyev Altymyrat menyambung untuk gol pertama Turkmenistan.

Namun barisan negara tidak patah semangat dan akhirnya berjaya mendapat gol ketiga hasil larian solo Corbin Ong yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan untuk Malaysia selesa 3-1 di hadapan.

 

Faisal menjaringkan gol kedua.

Babak kedua menyaksikan Kim Pan-gon melakukan beberapa pertukaran sebagai sebahagian daripada taktikal dan juga dilihat sebagai persediaan beliau untuk perlawanan seterusnya.

Jurulatih dari Korea Selatan itu melakukan lima pertukaran memasukkan Syafiq Ahmad, Junior Eldstal, Mohamadou Sumareh, Safiq Rahim dan Guilherme De Paula yang dilihat menambah sengat dan juga keterujaan para penyokong.

Kedudukan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan dan Malaysia kini di landasan tepat untuk layak ke Piala Asia namun masih ada dua perlawanan yang perlu dihadapi iaitu menentang Bahrain pada Sabtu dan Bangladesh pada Selasa 14 Jun.

Lebih manis, kemenangan ini juga menyaksikan Faisal dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.