PROGRAM kali keenam yang dianjurkan pada tahun ini oleh Persatuan Boling Padang Kuala Lumpur itu telah mengukuhkan prestasi atlet bagi mengekalkan rentak persembahan cemerlang di mana-mana kejohanan yang dihadapi.
Perkara ini dapat dibuktikan dengan kehadiran dua wira kebangsaan iaitu Nur Ain Nabila dan Aleena Ahmad Nawawi, selaku pemenang pingat emas dalam acara boling padang kategori berpasangan perempuan di Kejohanan Dunia Gold Coast, Australia September lalu.
Ketika pihak FLASH SUKAN menemui dua atlet ini, mereka menyatakan bahawa setiap acara terbuka yang dianjurkan oleh Persatuan Boling Padang Kuala Lumpur telah meluaskan kemahiran serta pengalaman mereka sejurus menguji kekuatan yang sedia ada untuk digunakan dalam kejohanan dunia tersebut.
“Sebelum kejohanan dunia di Australia, kami banyak sertai acara yang dianjurkan Persatuan KL kerana kategori terbuka yang bercampur lelaki perempuan telah menjadikan kami lebih yakin untuk bertarung di kejohanan dunia kategori perempuan.
“Kurang tekanan bermain dalam kelompok kategori perempuan sahaja berbanding campur lelaki kerana lelaki mempunyai daya saing yang kuat, jadi agak mencabar untuk lawan dengan mereka.
“Kami boleh katakan salah satu berkat utama kemenangan kami adalah daripada sini (program yang dianjurkan oleh Persatuan Boling Padang Kuala Lumpur) kerana kerap mengadakan perlawanan dengan jarak tempoh yang dekat ,” ujar Ain dan Aleena.
Dalam pada itu, pelancaran Kejohanan Sukan Boling Padang Kuala Lumpur 2023 telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Suhardi Alias pada Khamis di Kompleks Sukan Boling Padang, Bukit Kiara.
Dua atlet negara itu turut memuji layanan yang diberikan oleh Persatuan Boling Padang Kuala Lumpur kerana telus dalam memberi penghargaan kepada mana-mana atlet yang berjaya mengharumkan nama Malaysia.
Sementara itu, mereka mengharapkan supaya sukan boling padang ini akan diceburi lebih ramai pelapis-pelapis dan bakat baharu serta boleh memberi saingan kepada atlet yang sedia ada.