UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) akan menandatangani memorandum persefahaman bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memperkukuh semangat kesukanan dari peringkat akar umbi lagi terutamanya dalam kalangan pelajar.
Kerjasama yang bakal dijalin ini akan meluaskan lagi inisiatif UiTM dan MSN dalam menyediakan peluang pendidikan tinggi serta latihan yang berkaitan untuk faedah bersama.
Untuk lebih terperinci, skop kerjasama UiTM akan menawarkan peluang pendidikan dengan pelbagai peringkat pengajian mengikut fleksibiliti dan kesesuaian jadual latihan para atlet muda sejurus membuka peluang kepada atlet untuk mewakili pasukan UiTM sewaktu dalam tempoh pengajian.
Selain itu, universiti berpengaruh itu akan mendedahkan lebih ramai pakar bidang sukan berkualiti tinggi dan pertukaran kepakaran teknikal serta professional.
Dalam masa yang sama, selepas membuat perjanjian MoU, UiTM sebagai rakan universiti kepada MSN perlu membantu dalam mempromosikan program MSN serta membangunkan lagi sektor sukan dalam kalangan pelajar.
Sementara itu, MSN melalui Program Malaysian Athlete Career and Education (MACE) akan mengenal pasti atlet yang berkelayakan untuk diberi peluang menyertai program pendidikan di UiTM melalui kerjasama di bawah Memorandum Persefahaman ini.
Difahamkan, segala bentuk kerjasama dalam pembangunan sukan untuk mencapai objektif Memorandum Persefahaman bagi faedah bersama ini tertakluk kepada persetujuan antara kedua-dua belah pihak.
Diharapkan supaya kerjasama yang bakal terjalin antara UiTM dan MSN akan mencorakkan lagi industri sukan di tanah air dengan adanya penambahan para atlet muda.