ARENA sukan berbasikal negara mendapat khabar gembira, apabila ditawarkan satu slot automatik untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Tawaran itu diberi Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang menawarkan satu kuota buat pelumba basikal lebuhraya wanita kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab dalam satu kenyataan media, mengesahkan pihaknya menerima slot kelayakan automatik ke temasya Paris 2024 itu.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKM), Datuk Abu Samah Abd Wahab sahkan tawaran 1 kuota buat pelumba lebuhraya wanita ke Olimpik Paris dari UCI.

“Kita sudah terima pengesahan daripada UCI dan senarai slot automatik untuk beraksi ke Sukan Olimpik Paris 2024 juga sudah dipapar di laman web UCI.

“Saya difahamkan UCI akan berhubung terus dengan MOM (Majlis Olimpik Malaysia) untuk notifikasi kelayakan tersebut,” kata Abu Samah.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkata, PKBM mempunyai beberapa calon pelumba lebuhraya wanita untuk dihantar ke Temasya Paris itu, namnun perlu dibincangkan lebih lanjut bersama Majlis Sukan Negara (MSN) terlebih dahulu.

Untuk rekod, pelumba wanita negara, Phi Kun Pan merangkul pinagt emas lepas beramai-ramai bawah 23 tahun wanita pada Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Asia (ACC 2023) Mei lalu.