MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur ancaman, mahu membatalkan pendaftaran badan induk sukan negara itu.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan yang diedarkan berkata, kenyataan berbaur ancaman Suhardi itu dirakam dan tersebar di aplikasi WhatsApp, turut menyamakan badan induk terbabit dengan kerajaan Israel dalam konflik Gaza.

Kenyataan media daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Menurut Norza, beliau sudah mengarahkan Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Mohd Najib, untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam mengemukakan bantahan terhadap tingkah laku sebegini, jika ia benar berlaku.

“MOM percaya kenyataan sedemikian adalah satu tindakan yang tidak wajar daripada Pesuruhjaya Sukan kerana status MOM selaku badan payung persatuan sukan kebangsaan dijamin dalam Akta Pembangunan Sukan 1997.

“Kenyataannya, andai ia benar, melambangkan niat jahat daripada Pesuruhjaya Sukan. Walaupun MOM tidak berada dalam perjumpaan berkenaan, ugutan itu dikeluarkan tanpa sebarang sebab.

“Kami tidak mahu membuat kesimpulan secara terburu-buru tetapi kami menuntut agar Pesuruhjaya Sukan menjelaskan keadaan disebabkan tindakannya boleh ditafsirkan sebagai melampaui batas,” katanya, menerusi kenyataan media.

Tambahnya, MOM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya, termasuk mengemukakan bantahan rasmi kepada Menteri Belia dan Sukan.

Terdahulu, menerusi audio yang berdurasi 1 minit 20 saat itu, perbualan Suhardi dalam satu pertemuan dengan wakil E-Sport pada 14 November lalu, menyaksikan PJS menyamakan payung badan sukan kebangsaan itu, dengan Kerajaan Israel dalam konflik di Gaza, Palestin.

“Kita batalkan Majlis Olimpik Malaysia (OCM) supaya dia boleh wakil lagi negara lain.

“Sebab itu kuasa persuruhjaya sukan, saya batalkan OCM. Dia pergilah wakil negeri lain. Jadilah OCM negara lain. I think this issues kita mempunyai niat yang sama tetapi OCM pun.

So batalkan OCM minta dia wakil Taiwan ke wakil mana-mana ke pesuruhjaya sukan sebelum ini tidak berani, saya berani,” katanya.