EKSKLUSIF oleh: MOHD FARIQ
BERPAKAIAN serba hitam malam tadi, lain dari biasa yang di pakainya berbaju putih, Kim Pan-gon seolah-olah bersiap sedia meraikan sesuatu.
Kejayaan anak buahnya mencatat kemenangan 3-1 ke atas Turkmenistan memastikan Harimau Malaya memulakan kempen Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia AFC 2023 dengan langkah kanan.
Bukan itu sahaja, selepas perlawanan pengurusan pasukan menyediakan kek harijadi ke-53 buat Pan-gon.
Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu meraikan dua hari jadi setiap tahun.
Secara rasmi, kelahiran Pan-gon dicatat sebagai 1 Mei, 1969, tarikh yang mengikut kalendar lunar Cina.
Mengikut horoskop barat pula, Pan-gon lahir pada 8 Jun 1969, maka kemenangan di hadapan hampir 25,000 penyokong di Stadium Nasional membawa makna tersendiri buat bekas jurulatih Hong Kong itu.
Jaringan Safawi Rasid, Faisal Abdul Halim dan La’Vere Corbin Ong memadai untuk Malaysia merakam kemenangan.
Manakala Turkmenistan membalas satu gol menerusi Altymyrat Annadurdyýew.