PELANJUTAN kontrak ketua jurulatih bola sepak kebangsaan, Kim Pan-Gon bersama Harimau Malaya sehingga 2025 dan itu sudah menjadi sebahagian perancangan besar yang dibuat oleh pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Perkara ini juga telah mendapat perhatian oleh pemerhati bola sepak tempatan, Dr Zulakbal Abd Karim yang menyambut baik idealisasi FAM kerana melihat peningkatan kualiti bola sepak negara sejak ianya berada di bawah bimbingan Pan-Gon.

Menurut Dr Zulakbal, beberapa kejayaan yang dicapai oleh Harimau Malaya kini juga merupakan satu faktor utama untuk beliau mendorong usaha FAM yang melanjutkan karakter pengendali skuad kebangsaan itu.

“Saya bercakap mengenai persetujuan ini bergantung kepada pelbagai jenis keputusan seperti keputusan perlawanan yang baik, keputusan persembahan yang semakin cemerlang dan keputusan yang boleh berdaya saing.

“Memang saya boleh nampak kehadiran Pan-Gon dalam bola sepak negara ini telah menghasilkan satu kesan yang positif kepada Harimau Malaya kerana aksi mereka yang lebih meyakinkan sejurus ianya membuktikan lagi kemahiran ketua jurulatih dari Korea itu.

“Adanya pembantu jurulatih, E.Elavarasan yang merupakan ‘orang lama’ dalam dunia bola sepak juga akan membantu Pan-Gon untuk mengenal pasti lebih banyak bakat pemain dan memperbaiki kekurangan Harimau Malaya,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Tambah Dr Zulakbal, kepercayaan telah diberikan kepada Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin yang berjaya melakukan satu keputusan besar dalam bola sepak Malaysia dan menyebabkan keadaan skuad semakin bertambah baik.

“Tindakan yang bagus dilakukan oleh beliau, jadi saya berharap Datuk Hamidin juga mendapat bimbingan yang baik daripada semua ahli FAM yang berada di sekeliling beliau,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : “KPG kekal latih Harimau Malaya hingga 2025” – Hamidin

Perubahan besar yang dibawa Pan-gon sejak mengambil alih pasukan pada awal 2022 memang perlu diberi perhatian oleh FAM termasuk menawarkan lanjutan kontrak kepada jurulatih itu.

Kejayaan layak secara merit ke Piala Asia di Qatar pada Januari depan serta memacu peningkatan ranking dengan hampir mengejutkan dua pasukan di kedudukan 100 dunia terbaik iaitu China dan Syria adalah bukti perubahan pasukan negara ketika ini.

 

Namun dengan segala usaha dibawa Pan-gon, sudah tiba masanya FAM melanjutkan lagi tempoh berkenaan dengan cuba meletakkan sasaran baharu bersaing merebut slot ke Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat nanti.

Malah, lapan slot yang diberikan kepada benua Asia itu harus diambil kesempatan bagi menetapkan hala tuju baharu yang secara tidak langsung bakal mengubah dimensi, budaya dan mentaliti dalam ekosistem bola sepak di Malaysia untuk menghala ke Piala Dunia.