PERTAHANAN skuad Harimau Malaya, Daniel Ting tidak kisah sama ada dia atau Corbin Ong yang bakal mengisi posisi pertahanan kiri dan menyerahkan segalanya kepada jurulatih, Kim Pan-gon untuk membuat keputusan asalkan ianya membawa kemenangan buat Malaysia.
Dia juga berharap agar barisan pertahanan akan lebih mantap ketika aksi menentang Chinese Taipei nanti untuk mengimbangi kekuatan barisan serangan yang ada pada skuad ketika ini.
Pada perlawanan menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, Daniel telah mempamerkan aksi yang cukup cemerlang apabila dimasukkan pada separuh masa kedua yang menjadi pencetus kepada kebangkitan dramatik Harimau Malaya untuk menang 4-3 sekaligus mengesahkan tiga mata pertama.
“Jika ketua jurulatih turunkan saya, pastinya saya gembira kerana ia adalah satu penghargaan dapat main untuk negara dan saya sentiasa bersedia untuk diturunkan.
“Bagi saya untuk pasukan kebangsaan kita bersama sebagai satu pasukan jadi jika saya diturunkan sudah pasti saya gembira tetapi kalau Corbin yang bermain, saya gembira kerana apa yang penting adalah kita menang,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Dalam pada itu, untuk perlawanan menentang Chinese Taipei, dia mahu pasukan meneruskan momentum cemerlang dengan corak permainan menyerang dan menjaringkan lebih banyak gol selain cuba untuk mengelak dari dibolosi.
“Kita perlu memberi fokus penuh pada perlawanan menentang Taiwan nanti dan cuba jaringkan gol sebanyak yang mungkin dan elak dari dibolosi untuk cuba bawa pulang mata berharga ke tanah air.
“Para pemain berada dalam motivasi terbaik selepas mencatat kemenangan pertama dan kami mahu memastikan kami tidak melakukan kesilapan dan berikan persembahan terbaik,’ jelasnya.
Daniel turut berkongsi apa yang dikatakan pada Pan-gon kepadanya semasa dimasukkan pada aksi pertama iaitu jurulatih itu mahukan dia membantu bahagian serangan mendapatkan jaringan selepas ketinggalan dua gol pada ketika itu.
Malaysia akan ke Stadium Perbandaran Taipei untuk bertemu Blue Wings pada Selasa dan tiga mata sekali lagi dituntut untuk memastikan laluan layak ke peringkat kumpulan Piala Asia 2027 serta pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 semakin cerah.