SKUAD Harimau Malaya disambut meriah dan diberikan pelbagai ucapan tahniah dan selamat maju jaya dari penyokong ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke Taipei menjelang aksi menentang Chinese Taipei pada Selasa.
Barisan kejurulatihan dan pemain diserbu para peminat yang berada di balai berlepas KLIA sejurus mereka turun dari bas dan dapat dilihat keterujaan daripada penyokong yang rata-ratanya tidak melepaskan peluang bergambar dan berswafoto bersama pemain yang dianggap wira ketika ini.
Syihan Hazmi dan Arif Aiman paling mendapat perhatian peminat dengan penyokong-penyokong cilik nyata teruja apabila mendapat kesempatan untuk bertemu idola mereka di hadapan mata sendiri.
Populariti Harimau Malaya meningkat naik kebelakangan ini selepas menampilkan aksi bertenaga dan mampu menyaingi lawan lebih kuat sekaligus mengembalikan keyakinan buat para penyokong untuk turut sama dalam perjalanan ke Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027.
“Boleh kita bergambar, ‘good luck’, ‘all the best’ adalah antara kata-kata yang kedengaran daripada para peminat ketika melihat pemain-pemain Harimau Malaya melangkah masuk ke lapangan terbang.
Sisi yang sama ditunjukkan oleh para pemain yang sabar melayan kehendak peminat terutama kanak-kanak meskipun tiba agak pagi dan perlu bergegas untuk menaiki pesawat yang dijadualkan berlepas pada jam 9.20 pagi.
Harimau Malaya perlu mengembalikan semula kepercayaan penyokong dengan memberikan aksi terbaik di Taiwan untuk membawa pulang tiga mata penuh sekaligus mencerahkan peluang untuk layak ke Piala Asia 2027 dan ke pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia 2026.