PELARI pecut kebangsaan Jonathan Nyepa, berjaya menebus kekecewaan tahun lalu apabila dinobatkan selaku raja pecut di Grand Final Trek dan Padang Varsity 2023 selepas memenangi pingat emas acara 100 meter (m) Diamond lelaki mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pada final yang berlangsung di Arena Universiti Malaya (UM) itu, Jonathan merakam masa terpantas dengan catatan 10.66 saat (s).
Dia yang sekadar berpuas hati di tempat kedua pada edisi tahun lalu, mengatasi juara bertahan dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Muhammad Fakhrul Abdul Aziz, yang kali ini berada di kedudukan kedua dengan catatan 10.76s.
Pingat gangsa pula menjadi milik pelari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Aqil Yasmin (10.84s).
“Sasaran utama saya adalah untuk memperbaharui catatan terbaik saya 10.51s dalam kejohanan ini, tetapi saya tetap berpuas hati dengan larian hari ini kerana berjaya menghadiahkan pingat emas kepada UPM.
“Ini adalah kejohanan terakhir saya tahun ini. Selepas ini saya akan fokus buat persiapan bagi menghadapi saingan tahun depan, dan semuanya bergantung kepada perancangan jurulatih,” kata Jonathan, ketika ditemui selepas aksi final.
Sementara itu, seorang lagi pelari kebangsaan, Azreen Nabila Alias yang turut mewakili UPM menjuarai saingan 100m Diamond wanita, dinobatkan sebagai ratu pecut yang baharu selepas mengungguli aksi final dengan catatan 12.37s.
Dia mengatasi rakan sepasukan Nor Sarah Adi yang mengakhiri perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 12.62s manakala pelari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Chelsea Cassiopea Evali Bopulas ketiga (12.70s).
“Saya gembira kerana ini adalah kemenangan pertama saya dalam Grand Final Varsity. Tahun lalu saya di tempat kedua di belakang Zaidatul Husniah Zulkifli.
“Namun, dari segi catatan masa, tahun lalu lepas lebih baik kerana ada persaingan daripada Zaidatul. Persaingan tahun ini pula agak kurang kerana Chelsea daripada acara 400m manakala Sarah acara lompat bergalah,” katanya.