MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menggesa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh campur tangan susulan kenyataan terbaharu Pesuruhjaya Sukan (PJS) Suhardi Alias, semalam.

MOM dalam satu siaran media mendakwa, Suhardi berterusan mengugut mengambil tindakan terhadap payung badan induk sukan kebangsaan itu di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, pucuk pimpinan MOM menyifatkan kenyataan terbaharu Suhardi (19 November), di luar bidang kuasanya.

Siaran Media Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mahu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh campur tangan susulan kenyataan Pesuruhjaya Sukan, Suhardi Alias.

“Kenyataan terbaharu Suhardi jelas menunjukkan apa yang tersimpan dalam lubuk hatinya, bahawa beliau ada niat untuk mengambil tindakan terhadap MOM di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

ARTIK BERKAITAN : PJS takkan mohon maaf, kekal pendirian ikut buku

“Suhardi bukan sahaja enggan memohon maaf atas kata-kata beliau yang menyamakan MOM dengan Kerajaan Israel tetapi juga menyentuh pencapaian dan prestasi atlet di bawah naungan kami, sedangkan bidang kuasa PJS terhad kepada perundangan berkaitan pendaftaran dan pembatalan atau penggantungan badan sukan yang berdaftar di bawah Akta 576.

“Kedegilan Suhardi ini memberi isyarat bahawa beliau sudah memukul gendang perang dengan MOM dan ahli gabungan kami,” katanya.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Majlis Sambutan Deepavali berterusan mendesak Suhardi Alias memohon maaf.

Menurut Nazifuddin, “MOM menghormati kedudukan Suhardi sebagai Pesuruhjaya Sukan yang bidang kuasanya luas mengikut Akta 576 namun mengingatkan PJS itu, akta yang digubal di Parlimen bukan milik individu yang boleh mengambil tindakan sewenang-wenangnya, apatah lagi terhadap MOM yang memayungi 58 persatuan sukan kebangsaan.

“Andai kebiadaban Suhardi berterusan, MOM berpegang kepada Piagam IOC yang menuntut mana-mana NOC (Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan) untuk mempertahankan kuasa autonomi and melawan sebarang bentuk tekanan, termasuk, tetapi tidak terbatas kepada tekanan politik, perundangan, agama dan ekonomi.”

Pesuruhjaya Sukan, Suhardi Alias berkeras enggan mohon maaf dan mahu MOM sedar bahawa payung badan induk persatuan sukan kebangsaan itu tertakluk kepada undang-undang.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kenyataan Suhardi yang berkata bahawa MOM tertakluk kepada Seksyen 8 dan 9 Akta Pembangunan Sukan, ia berniat jahat kerana selama ini MOM mematuhi semua peraturan mesyuarat serta perlembagaan MOM yang diiktiraf sebagai Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) oleh IOC.

“MOM memahami kandungan Akta 576 yang membuatkan kami bekerjasama rapat dengan semua agensi Kerajaan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), khususnya Majlis Sukan Negara (MSN), Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPJS) dan Institut Sukan Negara (ISN) dalam menguruskan penyertaan Kontinjen Malaysia ke Temasya Pelbagai Sukan Antarabangsa serta hal-ehwal pendaftaran ahli gabungan dan persatuan sukan kebangsaan,” tegas Mohd Nazifuddin.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berang apabila MOM dilabel seperti Israel.

Mohd Nazifuddin menambah kenyataan terbaharu Suhardi turut memperlihatkan kedegilan beliau mengambil pendekatan konfrontasi yang tidak seiring dengan semangat musyawarah yang ditekankan oleh Y.B. Hannah Yeoh sejak beliau dilantk menjadi Menteri Belia dan Sukan pada November tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN : 

Batal pendaftaran, disamakan dengan Israel… MOM minta penjelasan PJS

Suhardi buat laporan polis penyebaran keratan rakaman berbaur fitnah

Persatuan Sukan Kebangsaan bidas Suhardi

Semalam, Suhardi membidas Timbalan Presiden MOM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang meminta beliau memohon maaf sambil menegaskan payung badan induk sukan kebangsaan itu juga tertakluk di kepada Seksyen 8 dan 9 Akta Pembangunan Sukan (Akta576), dan tidak kebal daripada tindakan undang-undang negara.

Dalam pada itu, usaha mendapatkan komen daripada Hannah menemui kegagalan selepas Menteri Belia dan Sukan yang dijadualkan menghadiri Majlis Perasmian Simposium Perusahaan Sosial Sukan Kebangsaan 2023 di Majlis Sukan Negara (MSN), memutuskan untuk tidak hadir di saat akhir.