KAPTEN bersama Harimau Malaya, Dion Cools tenang menghadapi tekanan yang diberikan barisan kejurulatihan untuk layak ke peringkat ketiga kelayakan Piala Dunia dan dia tidak menganggap ianya sebagai tekanan tambahan sebaliknya menjadikan perkara itu motivasi buat dirinya dan rakan sepasukan.

Pemain kacukan Malaysia – Belgium itu bagaimanapun sedar dengan apa yang menanti Harimau Malaya pada Selasa namun dia percaya semua pemain bersedia melakukan tugas masing-masing dan mengutip tiga mata.

“Ini adalah satu lagi perlawanan yang penting. Kami ada enam perlawanan dan sudah menang satu dan ini adalah satu lagi aksi yang perlu dipandang serius untuk mencipta peluang terbaik untuk kami mencapai sesuatu.

“Kami sudah bersedia dan akan lakukan segalanya untuk menang dan tidak sabar untuk aksi esok tetapi kami tidak meletakkan sebarang tekanan tambahan kerana kami tahu apa yang mahu dilakukan sesuatu sebagai satu pasukan,” katanya menjawab soalan FLASH SUKAN ketika sesi sidang media pra perlawanan di Taipei.

Penjaring dua gol ketika Malaysia mempamerkan aksi luar biasa menewaskan Republik Krygyz itu juga mahu mengambil satu perlawanan pada satu masa dan mahu memperolehi kemenangan dalam kesemua perlawanan peringkat kumpulan.

“Kami mahu menang setiap perlawanan untuk mencapai sasaran layak ke peringkat seterusnya dan perlawanan esok sangat penting buat kami untuk kutip tiga mata.

“Saya harap semua penyokong terus menyokong kami kerana anda cukup hebat sebelum ini di Bukit Jalil dan menjadi elemen yang penting buat kami mencapai kemenangan dan harap anda teruskan menyokong kami selepas ini,” jelasnya.

Dion sebelum ini senada dengan Kim Pan-gon tentang kerugian sekiranya gagal menewaskan Chinese Taipei selepas menang pada perlawanan pertama namun tetap berwaspada dengan ancaman yang diberikan pasukan lawan.

Berdasarkan kepada ranking Persekutuan Bolasepak Malaysia (Fifa) ketika ini, Malaysia berada di kedudukan ke-137 manakala Taiwan di tempat ke-152.