KETUA jurulatih Chinese Taipei, Gary White sedar dengan kekuatan yang ada pasukan Harimau Malaya terutama kepantasan dimiliki Arif Aiman dan Faisal Halim yang disifatkan sebagai sukar dikawal dan perlu diberikan lebih perhatian oleh barisan pertahanannya.

Pengendali asal England itu juga sedar skuadnya turun sebagai pasukan ‘underdog’ apabila berhadapan Malaysia pada Selasa namun dia memberikan amaran agar barisan Kim Pan-gon berhati-hati kerana mereka mampu untuk memberikan kejutan pada perlawanan Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

“Malaysia mempunyai ramai pemain yang bagus terutama dua penyerang, Arif dan Faisal yang sukar dikawal serta ditambah beberapa pemain yang berpengalaman serta warisan yang bermain di liga antarabangsa dan anda dapat melihat mereka begitu maju dan semakin kuat.

“Kedua-dua pasukan mahukan tiga mata penuh dan sudah pasti Malaysia lebih tertekan kerana kami adalah pasukan ‘underdog’. Mereka juga lantang menyatakan tidak mahu kalah kepada kami tetapi pada masa yang sama mereka mengambil tahu segalanya tentang kami,” katanya ketika menjawab soalan FLASH SUKAN dalam sidang media pra perlawanan di Taipei.

White juga yakin dengan kemampuan para pemainnya terutama selepas berjaya mengekang Oman dari menang lebih besar serta beraksi di laman sendiri dengan sorakan ribuan penyokong akan memberikan kelebihan buat mereka untuk mengatasi Malaysia.

“Anda seharusnya bertanya pada pengendali Oman sama ada dia boleh duduk diam atau tidak ketika menentang kami tempoh hari dan jika persembahan sebegitu diteruskan, tidak mustahil kami mampu mengejutkan Malaysia di hadapan penyokong kami,” jelasnya.

Sementara itu ketua pasukan Chinese Taipei, Chen Po-liang yang berada dalam skuad ketika membenam Malaysia 3-2 pada 2011 di venue yang sama mahu menggunakan pengalaman itu untuk membantu pemain lebih muda dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai kemenangan.

Chinese Taipei memerlukan tiga mata pertama selepas tewas perlawanan pembukaan kepada Oman 3-0 di Muscat dan Gary gembira kerana pemainnya semua berada dalam keadaan terbaik dan bersedia menambah badi kekalahan Malaysia di Taipei.