SERAMAI 28 peninju hebat dari pelbagai negara antaranya Malaysia, Thailand, Indonesia, Afghanistan, Maghribi, Itali dan Iran, bakal berentap pada, Grand Final Kuda Merah International World Muaythai Championship 2023 ‘Clash of Champion’ di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 25 dan 26 November 2023.

Acara berprestij anjuran Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur ini turut menyaksikan 12 tali pinggang kejuaraan menjadi rebutan.

Setiausaha Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur, Muhammad Firdaus Yaacop, berkata penganjuran kali ke-72 ini mendapat sokongan padu Tourism Malaysia, sekali gus menjadi sebuah acara hebat mengisi kalendar aktiviti pelancongan tahun 2023.

“Kami mensasarkan lebih 5,000 penonton dari dalam dan luar negara bakal memenuhi stadium pada dua malam perlawanan. Apatah lagi, selepas tertunda akibat Covid-19 selama dua tahun, pasti peminat seni pertahanan diri muaythai menantikan acara ini.

“Selain dari mempromosi kalendar acara Cuti-Cuti Malaysia 2023, acara kali ini juga bertujuan untuk menaik taraf kejohanan sukan muaythai tempatan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Kejohanan kali ini turut menyaksikan penampilan istimewa, Mat Ropi Kuda Merah PDRM, peninju asal Kelantan yang juga pemegang rekod lebih 100 kali bertanding dan merupakan peninju nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kami berharap Kuda Merah Kuala Lumpur akan terus mendapat sokongan dan tajaan yang lebih hebat untuk penganjuran kali ke-73 tahun depan, sekali gus meletakkan Kuda Merah International World Muaythai Championship Clash of Champion’sebagai acara tahunan berprestif dan meletakkan Malaysia di peta dunia sukan muaythai antarabangsa,” kata Muhammad Firdaus lagi.

28 peninju terdiri daripada 14 regu akan bertarung untuk merebut hadiah berupa 10 tali pinggang kejuaraan, dua tali pinggang juara pusingan, dua piala dan wang tunai.

May be an image of 3 people

Pemenang atau juara tali pinggang akan kembali dicabar dalam Clash of Champion pada November tahun 2024.