PASUKAN Bola Baling UiTM Lions (Wanita) cemerlang di bumi kenyalang selepas berjaya merebut Piala Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi ke-10 sempena Kejohanan Bola Baling Terbuka Sarawak 2022 yang telah berlangsung pada 4 hingga 7 Jun 2022 di Stadium Perpaduan Kuching Sarawak.

Sebanyak 13 pasukan berentap bagi kategori wanita dalam kejohanan ini dari pelbagai negeri yang terdiri daripada kelab bola baling, pasukan negeri, pemain kebangsaan dan juga universiti.

Antara pasukan yang turut memberi saingan adalah pasukan Elite HC, Projek Sri Kenyalang (PSK), FAM Union, Sarawak Sports Corporation (SSC), Trial HC, Fort Miri HC dan kelab persendirian.

Pasukan bola baling wanita mengekalkan status kemenangan buat kali kedua berturut-turut setelah berjaya menewaskan pasukan Sarawak Sports Corporation (SSC) di peringkat akhir dengan skor 16-11.

Menurut pegawai dan jurulatih pasukan, Cik Nor Ashikin Hassan, pasukan Bola Baling UiTM Lions menyertai kejohanan ini dengan membawa misi mengekalkan kejuaraan kali kedua berturut-turut.

“Alhamdulillah. Ia adalah sebagai permulaan pencapaian pasukan selepas berehat daripada kejohanan yang tertangguh disebabkan pandemik COVID-19,” katanya.

UiTM Lions berjaya membawa pulang piala pusingan, piala iringan, medal dan wang tunai berjumlah RM1,500.00.

Hadir dalam acara penutupan adalah Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan, Menteri Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia, Pandak Ahmad.

Keputusan penuh perlawanan UiTM Lions :

1. UiTM Lions vs Elite HC (21-3)
2. UiTM Lions vs SSC (14-8)
3. UiTM Lions vs UiTM Sarawak (21-3) –Suku Akhir
4. UiTM Lions vs Fort Miri (9-2) – Separuh Akhir
5. UiTM Lions vs SSC )(16-11) – Akhir