KEPUTUSAN mengenai perlesenan kelab Liga Super dan kelab AFL M3 tahun 2024/2025 telah diadakan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang diwakili oleh Pengerusi Perlesenan Kelab Malaysian Football League (MFL) First Instance Body (FIB), Syeikh Mohd Nasir Syeikh Mohd Sharif dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam.
Sebanyak 10 kelab daripada Liga Super tahun ini telah berjaya mendapatkan lesen kebangsaan tanpa sebarang permasalahan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Perak FC, Sri Pahang FC, Terengganu FC, Penang FC, Kuching FC, Kedah FC, Negeri Sembilan FC dan PDRM FC.
Walau bagaimanapun, tiga kelab yang lain seperti Kuala Lumpur (KL) City FC, Sabah FC dan Kelantan United FC juga lulus untuk berada dalam saingan liga musim hadapan tetapi dituruti dengan hukuman sebanyak RM20,000.
Manakala kelab yang sudah sedia maklum mempunyai pelbagai isu dalaman, iaitu Kelantan FC telah ditangguhkan daripada mendapat lesen kebangsaan kerana didapati masih mempunyai tunggakan gaji kepada pemain dan pegawai setakat 31 Ogos 2023.
Menurut Syeikh Mohd Nasir, pihak FIB sebelum ini telah mengarahkan pengurusan Kelantan FC untuk menyelesaikan segala masalah tunggakan gaji atau menyerahkan dokumen persetujuan daripada pemain dan pegawai pada tarikh lalu yang telah ditetapkan.
“Tetapi dukacita dimaklumkan pada tarikh yang dijanjikan tersebut, kami tidak menerima sebarang pembayaran atau penyerahan dokumen daripada kelab mereka justeru kami masih memberi peluang terakhir buat mereka.
“Jika sehingga tarikh 30 November 2023 mereka tidak dapat menyerahkan bukti pembayaran gaji kepada pihak FIB, maka mereka secara automatik telah digugurkan dalam liga.
“Jadi kami pula terpaksa menangguhkan keputusan perlesenan kelab Kelantan FC sehingga tarikh 31 Disember 2023 walaupun mereka telah melengkapkan semua dokumen kriteria yang diinginkan. Isu tunggakan bayaran gaji, lima kes FIFA dan dua kes FAM merupakan faktor yang masih aktif,” ujarnya dalam sesi sidang media.
Sementara itu, Stuart juga menyatakan bahawa pihak MFL berharap supaya slot ke-14 kelab liga Malaysia itu dapat dipenuhkan oleh Kelantan FC sejurus mereka melunaskan segala hukuman dan syarat yang telah diminta oleh pihak FIB.