PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia melangkah ke suku akhir Masters China selepas berjaya mengatasi wakil tuan rumah, Lu Guang Zu di pusingan kedua.

Aksi di Gimnasium Shenzhen Bay, menyaksikan Zii Jia menampilkan persembahan terbaik untuk melakar kemenangan 21-10, 21-12 dalam tempoh 40 minit.

Ini adalah kemenangan keempat Zii Jia  ke atas lawan itu daripada lima pertemuan.

Zii Jia yang dibimbing Wong Tat Meng mengakui, gembira dengan prestasinya itu kerana berjaya mara ke kelompok lapan terbaik dan berharap dapat melangkah lebih jauh di kejohanan itu yang juga kejohanan terakhirnya musim ini.

“Saya buat yang terbaik untuk lebih banyak bersabar di dalam gelanggang. Ia membuahkan hasil apabila Guang Zu banyak buat kesilapan mudah…ini menjadi kelebihan untuk saya.

“Saya gembira dapat ke suku akhir kerana tahun ini tidak banyak saya berjaya melangkah ke suku akhir. Jadi, saya harap boleh pergi lebih jauh pada kejohanan kali ini yang juga kejohanan terakhir saya,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menanti Zii Jia di suku akhir, Kenta Nishimoto dari Jepun yang berjaya menjinakkan juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn 21-15, 21-23, 21-10.