BIASANYA Kim Pan-gon berbaju kemeja putih berseluar hitam di tepi padang, tetapi ketika merencanakan kemenangan 3-1 ke atas Turkmenistan, tema hitam menjadi pilihannya.
Secara kebetulan pula, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, turut memilih kemeja dan seluar serta kasut hitam untuk menonton sambil melayan tetamu diketuai Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, di ruang menonton VVIP.
Apakah dirancang atau kebetulan?
Masih terlalu awal untuk meraikan apa-apa tetapi kemenangan ke atas Turkmenistan membawa sinar positif kepada pasukan kebangsaan.
Diasak dan digesa untuk meletak jawatan selepas kegagalan di Piala AFF Suzuki pada lewat tahun lalu serta mewujudkan pasukan siasatan bebas untuk meneliti prestasi, Hamidin mempertaruhkan kedudukannya dengan membawa Pan Gon masuk menggantikan Tan Cheng Hoe.
Tidak pernah dalam sejarah FAM yang biasanya berkiblatkan Eropah, mengambil jurulatih asing dari sebuah negara Asia.
Perjudian itu belum menampakkan hasil. Kita kena bagi masa kepada Pan-gon.
Namun cara barisan negara menutup ruang dan memberi tekanan kepada pihak lawan menampakkan falsafah Pan-gon untuk menguasai permainan.
Pan-gon dan Hamidin sehati sejiwa. Cabarannya ialah memenangi jiwa peminat yang dahagakan sebuah pasukan kebangsaan yang boleh mengibar bendera negara!