HUBUNGAN dingin dipamer Pearly Tan-M Thinaah pada aksi pusingan pertama Masters China, menjadi perbualan warga net sehingga membuatkan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky tampil, memohon isu yang menyelubungi pasangan wanita negara, yang didakwa berselisih faham tidak diperbesarkan.
Malah, jurulatih berpengalaman itu mahu mengadakan pertemuan dengan jurulatih beregu wanita, Hoon Thien How dan kedua-dua pemain berkenaan sebaik mereka pulang ke Malaysia dari Shenzen, China.
Menurut Rexy, dirinya belum mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku tetapi percaya ia adalah perkara biasa yang berlaku ke atas mana-mana pasangan beregu.
Isu Pearly-Thinaah yang didakwa berselisih faham dapat dihidu peminat tempatan selepas kedua-dua pemain itu dilihat tidak berkomunikasi antara satu sama lain di sepanjang perlawanan, ketika tewas di tangan pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong di pusingan pertama Masters China, kelmarin.
“Saya rasa para peminat salah tafsir komen saya di Instagram mengenai Pearly dan Thinaah. Apa yang saya maksudkan adalah sukar untuk menjaga dan menguruskan pemain-pemain ini.
“Saya rasa ini hanyalah perselisihan faham yang kecil dan tidak perlu diperbesarkan. Perkara ini biasa dalam acara beregu, yang penting kami sebagai jurulatih harus pandai untuk menegur dan menyelesaikan masalah ini di antara mereka.
“Saya tidak tahu punca sebenar lagi, jadi saya tidak dapat memberikan penerangan lanjut, tetapi saya perlu tunggu Thien How balik dan mendapatkan laporan penuh daripada dia sebelum membuat sebarang keputusan,” kata Rexy.
Menurut Rexy, isu yang dihadapi Pearly-Thinaah tidak sama dengan konflik yang pernah menimpa Nur Izzudin Rumsani-Goh Sze Fei sehingga mereka terpaksa dipisahkan selama lima bulan sebelum digandingkan semula pada Mei lalu.
“Ia sama sekali tidak sama. Saya akan duduk berbincang dengan pemain mengenai hal ini.
“Tahun depan Sukan Olimpik, jadi mereka harus tahu bagaimana mahu menjaga diri mereka. Mereka sudah berada dalam RTG (Road to Gold), BAM, MSN dan ISN juga sudah memberikan khidmat yang terbaik untuk membantu persediaan mereka, tinggal mereka sahaja perlu menjaga diri mereka sendiri.
“Kami tidak mampu untuk memantau mereka 24 jam sehari,” kata Rexy.