KETUA jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah terpaksa menelan hakikat bahawa gol awal yang diperolehi Selangor FC mengganggu perancangan permainan selain turun tanpa beberapa tonggak juga dianggap sebagai faktor kekalahan 0-4 dalam aksi di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Bagaimanapun dia memuji aksi yang ditunjukkan para pemainnya meskipun majoriti dari mereka berada dalam keadaan kurang sihat selepas pulang dari perlawanan jemputan di Samarinda, Kalimantan baru-baru ini.
“Selepas ketinggalan pada awal babak pertama, kami mengasak dan melakukan serangan tetapi sering dikecewakan dengan serangan balas Selangor yang lebih laju dan pemain saya berada pada tahap yang sebenar tanpa empat tonggak utama.
“Kita ada juga menguasai permainan tetapi kurang pengalaman di depan gol dan sedikit gugup memudahkan pemain lawan mematahkan serangan kita tetapi saya mahu pemain tidak patah semangat dan akan bangkit semula pada perlawanan menentang Sabah selepas ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Berbaki dua perlawanan musim ini, bertemu Sabah di laman sendiri dan Terengganu di laman lawan, Yusri sudah mula mencorak pasukan untuk musim hadapan namun berharap para pemain dapat memberikan sesuatu kepada penyokong ketika perlawanan terakhir di Ipoh nanti.
Dia juga berpuas hati dengan apa yang telah ditunjukkan pemain sepanjang dia mengambil alih pasukan dan berharap dapat kekal di tangga kesembilan.
“Kami akan cuba berikan kemenangan buat penyokong kami apabila beraksi di gelanggang sendiri minggu depan kerana ianya perlawanan terakhir di Ipoh walaupun kita tahu Sabah kini di landasan terbaik.
“Secara keseluruhan, pemain sudah berjuang untuk musim ini dan saya harap pasukan di bawah kami tewas agar kami dapat kekal di tempat kesembilan liga,” jelasnya.
Perak tewas 0-4 kepada Selangor hasil jaringan Sharul Nazeem, Mukhairi Akmal, Yohandry Orozco dan Ayron Del Valle untuk kekalahan ke-14 dari 24 perlawanan liga.