KEDAH Darul Aman (KDA) FC, tumpas 1-4 kepada Selangor FC dalam perlawanan keempat Liga Super pada Ahad kembali fokus untuk dua perlawanan sukar tempat lawan selepas ini.
Pertama, berdepan Penang FC di Stadium Bandaraya malam esok diikuti terbang ke Likas melawan Sabah FC, tujuh hari berselang.
Mimpi ngeri di Petaling Jaya bakal dilupakan para pemain termasuk jurulatih Kenari, Aidil Sharin Sahak yang dalam misi mencari semula rentak permainan.
Kekalahan pertama dalam liga yang dicatatkan itu menjejaskan kedudukan mereka pada tangga kedua liga sehingga di pintas Sabah.
“Kita akui belajar dari kesilapan semasa aksi bertemu Selangor. Tidak mudah bermain dalam perlawanan tempat lawan dalam bulan Ramadan.
“Kita ke sana dengan tunjukkan keputusan positif,” kata pengendali asal Singapura itu.
Beberapa tonggak KDA FC alami kecederaan dan Aidil Sharin dijangka mempertaruhkan barisan muda dalam usaha di landasan kemenangan liga.
“Kami dah pun lupakan dan masa melihat ke depan,”ujarnya.