PERKHIDMATAN Transit Aliran Ringan (LRT) akan dilanjutkan Sabtu ini sebagai tanda sokongan kepada peminat bola sepak Harimau Malaya bagi menyaksikan pertemuan antara Malaysia menentang Bahrain kempen Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia AFC 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perkembangan terkini itu dimaklumkan Rapid KL, dalam satu ciapan menerusi Twitter hari ini.

Lanjutan perkhidmatan itu dibuat dipercayai kehadiran peminat bola sepak yang dijangka lebih tinggi berbanding ketika Malaysia menentang Turkmenistan pada Rabu lepas.

“Perkhidmatan tren LRT Laluan Ampang/Sri Petaling di Stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan seperti berikut.

“Tren terakhir menuju ke Sentul Timur akan berlepas pada jam 12.03 tengah malam.

“Tren terakhir menuju ke Putra Heights akan berlepas pada jam 12.44 tengah malam,” menurut hantaran itu.

Katanya lagi, tren tambahan akan disediakan bagi membawa penumpang setelah selesai perlawanan.

“Penumpang boleh meneruskan perjalanan ke LRT Laluan Kelana Jaya di Stesen Masjid Jamek dan ke MRT Laluan Kajang di Stesen Plaza Rakyat.

“Ayuh kita ke Stadium Jom Sokong Skuad Harimau Malaya,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti hebahan di Twitter @AskRapidKL atau layari laman sesawang www.myrapid.com.my.