PERTAHANAN skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) menganggap perbezaan yang ada pada pasukannya dan Kawasaki Frontale adalah kelebihan kelab Jepun itu mendapat perlawanan kompetitif secara berterusan setiap minggu dan ini membantu persiapan lawan menghadapi cabaran di Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Matt yang berkata demikian pada sidang media pra perlawanan Kumpulan I yang akan berlangsung esok di Stadium Todoroki Athletics, Kawasaki turut mengakui perlawanan esok adalah sangat penting buat JDT untuk terus kekal dalam saingan ACL dan membuka peluang untuk layak ke pusingan seterusnya.
“Kami gembira dan tidak sabar untuk beraksi esok kerana ini adalah kali keempat kami bertemu Kawasaki dalam dua tahun dan seakan sudah mengetahui tentang mereka dengan baik.
“Semua tahu mereka adalah lawan yang kuat dan tidak akan mengambil mudah kerana kami tahu ianya satu perlawanan yang sukar dan seperti yang dikatakan jurulatih ianya aksi yang penting buat kami dan ia ibarat perlawanan akhir.
“Namun begitu, kami hadir ke sini untuk berikan segalanya dan cuba membawa balik keputusan positif dari sini,” katanya.
Matt yang baru selesai dari tugasan kebangsaan kini yakin mereka sudah mendapat rehat yang cukup dan kini bersedia menggalas satu lagi cabaran dalam misi hidup mati mereka di ACL musim ini.
“Ianya sedikit sukar buat kami kerana tahap liga Malaysia tidak sama dengan Liga Juara-Juara AFC. Kami tidak mempunyai perlawanan intensiti tinggi setiap minggu berbanding Kawasaki yang mempunyai kelebihan itu bermain di Liga Jepun.
“Itu sedikit menyukarkan kami untuk menukar mode dari Liga Malaysia ke ACL tetapi kami yakin kami mempunyai kualiti untuk bersaing seperti yang kami tunjukkan sebelum ini,” jelasnya.
Dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan di Stadium Sultan Ibrahim pada September, Harimau Selatan tewas tipis 1-0 kepada Kawasaki Frontale dan kini sedia untuk berhadapan jaguh Jepun itu sekali lagi untuk meraih kemenangan pertama dalam rekod empat pertemuan.