KETUA jurulatih PDRM FC, Datuk Yunus Alif mahu pemainnya beraksi dengan tenang dan tidak gopoh walaupun sedar bukan mudah untuk kebanyakkan pemainnya yang beraksi buat kali pertama di final Challenge Cup menentang Kuching City FC pada Rabu.

Yunus yang mempunyai pengalaman luas sebagai pemain dan jurulatih di peringkat final akan menggunakan pengalamannya itu untuk memotivasikan pemain sekaligus mencipta sejarah muncul juara buat julung kalinya.

“Ini pertama kali PDRM FC layak ke final Challenge Cup dan kami berjaya capai matlamat untuk masuk ke final dan kini cuba untuk menang piala yang cantik ini. Pemain sudah bersedia dan saya harap mereka dapat berikan sepenuhnya untuk final pertama ini.

“Mana-mana final akan ada tekanan kerana suasana final sangat berbeza dengan permainan liga dan harap pemain dapat atasi kegugupan aksi di final. Saya akan gunakan pengalaman yang saya ada untuk beri bantuan pada pemain terutama dari sudut psikologi kerana bukan mudah beraksi di final.

“Perlawanan yang pantas dijangkakan dari kedua-dua pasukan dengan siapa yang banyak melakukan kesilapan akan dihukum dan saya mahu pemain bermain dengan tenang dan tidak gopoh,” katanya ketika sidang media pra perlawanan.

Pengendali yang mula hadir ke kelab pada pertengahan musim itu juga menganggap kekalahan kepada Negeri Sembilan FC pada aksi liga hujung minggu lalu sebagai baik kerana ianya menghilangkan rasa selesa di kalangan pemain yang dikatakan mula leka selepas sering mencatatkan keputusan yang positif.

“Bagi saya kekalahan kepada Negeri Sembilan ada hikmahnya kerana kita akan bangkit kerana pemain sudah mula ‘complacent‘ sebelum ini. Perlawanan esok adalah final dan mereka perlu berikan 100 peratus apabila beraksi.

“Kami akan turunkan kesebelasan terbaik tetapi masih ada pemain yang kurang cergas dan kami akan ‘monitor‘ mereka sama ada boleh diturunkan atau tidak,” tambah Yunus yang menyukai format Challenge Cup sebagai peluang kedua buat pasukannya.

Dalam sidang media yang sama, ketua pasukan Sang Saka Biru, Amir Saiful Badeli mahu dia dan rakan sepasukannya memberikan aksi terbaik dan meneruskan rentak sebagai pasukan bukan pilihan tetapi mampu memberikan cabaran buat mana-mana pasukan.

“Persiapan pasukan dalam keadaan terbaik dan kami akan turun dengan barisan penuh dan beri sehabis baik untuk aksi final ini. Kami bermain di tempat sendiri dan harap keputusan positif pada final pertama ini.

“Sejujurnya tahun ini agak sukses untuk pasukan kami dengan dibarisi pemain yang bukan bintang tetapi kami bersatu hati untuk sampai ke tahap ini. Kami ‘underdog’ tetapi dapat beri saingan pada pasukan yang lebih kuat.”