TIGA perlawanan Liga Premier berlangsung esok dengan tumpuan terarah pada pertembungan pasukan yang dirundung masalah, Perak FC dan pendahulu, Kelantan FC di Stadium Perak.

Dua senario berbeza dapat diikuti peminat bola sepak tanah akhir. Perak FC dalam keadaan bahaya pemotongan enam mata liga jika pihak pengurusan gagal melunaskan tunggakan bayaran gaji seperti diarahkan First Instance Body (FIB) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Belum diketahui moral dan semangat terkini pemain Yusri Che Lah. Peluang menewaskan Kelantan dapat melonjak kedudukan lebih baik tetapi sukar Flash Sukan meneka apa yang bermain dalam minda pemain Perak FC.

Manakala, kem pelawat juga hadir ke Ipoh misi meraih kemenangan untuk kekal selesa di tangga atasan liga musim ini selepas kalah mengejut 1-2 kepada Kuching United, pada Isnin.

Turut berlangsung aksi membabitkan Selangor FC 2 dan PDRM FC di Stadium UiTM serta pertembungan pantai timur antara Terengganu FC 2 dengan Kelantan United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Perlawanan tunggal pada 17 April pula menemukan Johor Darul Ta’zim 2 menanti kunjungan Kuching United FC di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

Ketika ini, hanya pasukan Projek FAM-MSN, Perak FC dan UiTM FC gagal memungut sebarang kutipan mata dan kekal di kelompok bawahan liga dengan masing-masing bermain tiga perlawanan.