BEKAS pemain pertahanan Everton, Phil Jagielka mengumumkan persaraannya daripada dunia bola sepak pada usia 41 tahun.

Bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) dan England itu mengesahkan keputusannya untuk bersara melalui media sosialnya di Instagram dengan memuat naik gambar dirinya di semua kelab yang pernah dimainkannya.

Dia turut berkongsi mesej penuh emosi semasa mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak selepas 23 tahun.

Dia menulis: “Segala perkara baik berakhir, dan selepas lebih daripada 800 penampilan, kerjaya bermain saya sudah selesai.”

“Tidak pernah dalam impian saya yang paling liar membayangkan saya akan dapat bermain bola sepak di peringkat tertinggi untuk beberapa kelab yang menakjubkan serta negara saya.”

“Ia adalah satu penghormatan untuk melangkah ke padang rumput untuk setiap perlawanan dan saya mempunyai begitu banyak orang untuk berterima kasih untuk itu.”

“Pertama, saya ingin berterima kasih kepada setiap pemain, pengurus, jurulatih, kakitangan, dan peminat yang telah memainkan peranan mereka dalam perjalanan bola sepak saya yang panjang ini. Saya akan sentiasa berterima kasih atas sokongan anda.”

“Yang paling penting adalah saya ingin berterima kasih kepada keluarga saya dan teman rapat yang berada di sisi sepanjang kerjaya saya dan berkongsi perkara yang tidak akan saya lupakan,” tambahnya.

Sepanjang kerjayanya, pemain pertahanan itu telah bermain untuk beberapa pasukan termasuklah Sheffield United, Everton Derby County dan Stoke City.

Kelab Everton memberi penghormatan kepada bekas pemain mereka dan menghantar ucapan tahniah kepadanya atas kerjayanya. Kelab itu menulis: “Nikmati persaraanmu Phil Jagielka, tahniah atas kerjaya yang hebat.”

Untuk rekod, Jagielka telah memperoleh 40 caps untuk England, menjaringkan tiga gol. Dia membuat debut untuk England pada tahun 2008 semasa kemenangan persahabatan antarabangsa 3-0 menentang Trinidad dan Tobago.

Semasa berada di Sheffield United, Jagielka dilatih sebagai penjaga gol sekali seminggu oleh pengurus Neil Warnock.

Dia terkenal kerana mengekalkan rekod bersih menentang Arsenal pada tahun 2006 selepas menggantikan Paddy Kenny yang tercedera dengan baki 34 minit permainan.