KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) hari ini memperkenalkan jersi baharu yang bakal digunakan skuad junior hoki kebangsaan ketika Piala Dunia Remaja yang bakal membuka tirainya dari 5 hingga 16 Disember di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Dalam majlis pengenalan itu, Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata kini skuad hoki kebangsaan kembali menggunakan warna kuning hitam sebagai warna utama manakala biru dipilih sebagai jersi away dengan kedua-dua jersi itu mempunyai sifat dan lambang tersendiri.

“Kami pernah gunakan warna oren sebelum ini kerana ianya warna harimau tetapi kini kami rasakan kuning hitam lebih kena dengan kita kerana ianya juga adalah warna tradisi sukan di Malaysia. Kuning hitam mempunyai lebih semangat Malaysia dan berikan lebih kekuatan pada pasukan.

“Warna biru pula kami pilih kerana ianya melambangkan semua warna yang ada di dalam Jalur Gemilang dan jika diperhatikan, jersi skuad hoki kebangsaan sering kami letakkan bendera Malaysia kerana saya mahu pemain faham yang mereka bermain untuk negara,” jelasnya.

Dalam majlis yang sama, Subahan turut mengumumkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berbesar hati menjadi penaja utama Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2023 dengan pemberian tajaan sebanyak RM1 juta yang akan digunakan sepanjang kejohanan berlangsung.

“TNB adalah penaja utama kejohanan dengan RM1 juta dan kami gembira kerana dapat terus menjalinkan hubungan yang baik dengan mereka selama beberapa tahun lagi mengikut kontrak dan wang tajaan ini akan digunakan sepenuhnya untuk kejohanan ini,” tambah Subahan.

Malaysia akan membuka tirai kejohanan menentang Chile pada 5 Disember dan Subahan turut berharap dengan jumlah tajaan ini, Malaysia mampu menjadi penganjur terbaik Piala Dunia ini selain mahu aksi cemerlang dapat ditunjukkan juga di dalam padang.