PENGENDALI PDRM FC, Datuk Yunus Alif masih bersikap rendah diri dengan kemenangan yang diraih dalam perlawanan akhir pertama MFL Challenge Cup 2023 sambil menegaskan bahawa pasukannya perlu kekal konsisten walaupun sudah mempunyai kelebihan agregat 3-0.
Beliau percaya, skuad Kuching City FC pastinya akan membuat satu pelan kebangkitan ketika bermain di gelanggang mereka dalam aksi perlawanan penentuan nanti.
“Kita masih belum juara, ingat! Kita masih ada 90 minit di Kuching dan kita tidak boleh mengambil mudah terhadap perlawanan akhir kedua kelak kerana dalam bola sepak, pelbagai situasi boleh berlaku.
“Masih ada kekurangan dari pihak PDRM yang perlu dibaiki lagi walaupun kita menang dalam pertembungan malam ini (Rabu). Kita akan memperhalusi setiap gandingan antara pemain yang beraksi di padang.
“Saya juga amat berpuas hati dengan prestasi Uche Agba dimana saya tahu dia seorang pemain yang mempunyai banyak pengalaman sejurus berani mengambil peluang yang ada di depan.
“Dan saya tidak menjangka kita akan menang 3-0, saya fikir hanya dua jaringan sahaja daripada mereka tetapi mereka telah berusaha dengan lebih malam ini,” ujarnya dalam sesi sidang media seleas tamat perlawanan.
Sementara itu, ketua jurulatih Kuching City FC iaitu Aidil Sharin Sahak tetap memandang keputusan perlawanan sebagai satu perkara yang positif untuk mereka kembali bangkit dalam perlawanan akhir kedua nanti.
“Tahniah kepada PDRM kerana berjaya mendahului perlawanan hari ini dan saya percaya bahawa aksi kedua yang akan bermain di laman sendiri pasti masih ada peluang untuk kita merebut semula jaringan.
“Kita hanya perlu lebih bekerja keras dan fokus untuk memberi segalanya dalam aksi seterusnya ini,” katanya.
Perlawanan akhir kedua MFL Challenge Cup 2023 telah dijadualkan berlangsung pada 3 Disember 2023 di Stadium Negeri, Kuching.