PERUNTUKAN dana lebih besar seharusnya diperuntukkan kepada Institut Sukan Negara (ISN), jika benar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu arena sukan negara, lebih berdaya saing di pentas antarabangsa.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal berkata, sekiranya ISN menerima dana besar, tentunya badan yang menguruskan sains sukan itu mampu memberi perkhidmatan lebih baik kepada persatuan-persatuan sukan dan lebih bersasar.
Sambil berkongsi maklumat mengenai KHM terpaksa mengupah jurulatih fizikal (physical trainer) sendiri dari luar negara memandangkan sebelum ini mereka perlu mengeluarkan wang bagi mendapatkan kepakaran daripada ISN.
“Saya bukan mahu merungut tetapi ISN mungkin berdepan kekangan dana dan kekurangan kakitangan sehingga mereka terpaksa membahagi-bahagikan sumber manusia yang ada kerana hoki bukanlah satu-satunya sukan yang memerlukan bantuan.
“Sekiranya ada doktor atau tukang urut mengikut kita ke mana-mana kejohanan, kita perlu bayar perkhidmatan mereka serta kos-kos lain seperti penginapan. Sebab itu saya cakap, daripada bayar, lebih baik kita gajikan jurulatih luar negara dengan kos hampir sama tetapi mereka hanya fokus kepada pasukan hoki.
“KBS boleh bantu dengan berikan lebih banyak dana kepada ISN. Sekiranya mahu sukan Malaysia berjaya, kerajaan perlu memperuntukkan lebih banyak dana. Jika sukan tidak jadi keutamaan, jangan cakap pasal nak pergi jauh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis memperkenalkan penaja minuman rasmi bagi Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, seiring perkembangan teknologi semasa, barisan jurulatih juga meminta pelbagai fasiliti dengan harga cukup tinggi sehingga memaksa persatuan mengeluarkan duit poket sendiri.
“Kalau nak harapkan (prestasi) gred A tetapi duit sikit, sangat sukar. Jurulatih sekarang mahu macam-macam dengan teknologi sekarang tetapi mahal sehingga kita kena cari pendapatan sendiri,” tambah Subahan.
Terdahulu, KHM menjalinkan kerjasama dengan Orang Kampung (OK) Group yang menjadikan minuman tenaga Long Qi sebagai minuman rasmi pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 yang akan berlangsung 5 hingga 16 Disember nanti.
Penajaan bentuk wang tunai dan barangan bernilai RM300,000 itu, tentunya merancakkan lagi perancangan KHM ketika menjadi tuan rumah kejohanan terbesar dunia di peringkat remaja itu.
Hadir sama Pengurus Jualan OK Group, Mohd Faizal Mohd Hassan.