PERSATUAN Bola Sepak Putrajaya (Putrajaya FA) kini dalam perancangan untuk menjadi Ahli Gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Presiden Putrajaya FA, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim berkata, dengan menjadi Ahli Gabungan FAM, Putrajaya FA akan mendapat pelbagai manfaat khusunya dalam pembangunan di peringkat akar umbi.
Ahmad Faisal berkata, ketika ini, skuad bawah 23 tahun Putrajaya FA sedang bermain di Liga Bolasepak Putrajaya peringkat M5 dan pastinya persatuan mahu melihat perkembangan positif musim depan.
“Sasaran Putrajaya FA pada musim depan ialah dapat menyertai pertandingan Piala Belia dan Piala Presiden yang dianjurkan FAM. Kami berharap impian ini akan menjadi kenyataan.
“Selain itu, pasukan-pasukan akademi bola sepak Putrajaya FA juga masih aktif menyertai Liga Suparimau (Kelolaan Akar umbi FAM),” kata Ahmad Faisal dalam satu kenyataan.
Dalam pada perkembangan sama, Ahmad Faisal berkata, Putrajaya FA mendapat ‘tonik’ istimewa untuk musim baharu tahun hadapan apabila mendapat tajaan bernilai RM80,000 dalam bentuk barangan dan perkhidmatan.
Katanya, tajaan itu diterima daripada Syarikat Hakka Clo dan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman telah diadakan di Putrajaya baru-baru ini.
“Terima kasih kepada Syarikat Hakka Clo yang sudi memilih Putrajaya FA untuk menghulurkan tajaan pada musim depan, tajaan ini akan menaikkan lagi semangat Putrajaya FA untuk mempamerkan aksi terbaik.
“Saya percaya, penajaan ini sedikit sebanyak akan memberi rangsangan kepada putrajaya FA untuk melangkah ke peringkat tertinggi dalam kancah bola sepak negara pada masa akan datang.
“Untuk maklum, Putrajaya FA juga telah mengadakan Perancangan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) bagi Tahun 2024 yang bertujuan meningkatkan mutu pembangunan bakat dan akar umbi di Putrajaya,” katanya.