PERLUMBAAN litar Asian Le Mans Series bakal kembali membuka tirai di Asia Tenggara pada hujung minggu ini iaitu 2 Disember 2023, di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Sebanyak 39 buah kereta dan 117 pelumba dari pelbagai negara dijangka menyertai kejohanan musim kelima yang akan berakhir di Litar Yas Marina, Abu Dhabi pada 11 Februari 2024.

Menariknya, Malaysia yang diwakili oleh pasukan Triple Eight dari Johor Motorsports Racing (JMR) akan menampilkan Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri bersama rakan sepasukannya Broc Feeney pelumba Supercars Australia, dan pelumba Jerman, Luca Stolz.

Tunku Jefri sememangnya sinonim dengan aktiviti perlumbaan dan adinda bongsu, Tunku Abu Bakar juga aktif dalam ‘motorsports’ sejurus pernah meraih kedudukan kedua perlumbaan GT World Challenge Asia pada 24 September lalu.

JDT yang dilihat bukan sekadar aktif dalam bola sepak, tetapi juga dalam futsal, polo, tinju, dan hoki ais sekali gus menunjukkan komitmen mereka dalam pelbagai sukan dan pembangunan jenama secara global.

Tambahan pula, usaha JMR selama ini telah berjaya meletakkan nama mereka di peringkat antarabangsa dan langkah ini tidak hanya menyuntik semangat kepada peminat sukan, malah membuka ruang kepada pemuda baharu.