PENJAGA gol Selangor FC, Sam Somerville sedar akan kepentingan perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman pada Sabtu kerana dia mahu membawa Selangor FC layak ke kejohanan kelab Asia musim hadapan.

Kedua-dua pasukan mahukan tiga mata untuk layak ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim hadapan tetapi Sam mahu memastikan slot itu menjadi milik Selangor dan berharap segala apa yang dirancang menjadi kenyataan dalam perlawanan pada Sabtu.

“Ianya perlawanan yang sangat menarik dan mungkin perlawanan yang paling besar buat kami musim ini. Kedua-dua pasukan mahukan tiga mata dan kami akan lakukan segalanya untuk meraih kemenangan.

“Kami rasa bagus dan yakin kerana kami bersedia dengan baik ketika latihan. Kami kenal pemain Kedah dan tahu kelebihan dan kelemahan mereka dan berharap apa yang kami rancang akan menjadi kenyataan pada aksi Sabtu ini.

“Layak ke Asia adalah sesuatu yang hebat buat Selangor kerana kami meletakkan sasaran sejak awal musim dan kini semakin hampir untuk mencapai sasaran dan fokus kami hanya tiga mata penuh di Alor Setar.

“Selangor seharusnya berada di Asia kerana sudah lama tidak layak dan kami sudah bersedia untuk bersaing di peringkat tertinggi,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan SFC pada Khamis.

Sam yang semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai penjaga gol nombor satu Selangor FC bagaimanapun mahu semua pemain terus fokus sepanjang perlawanan dan dia tidak kisah siapa pun diturunkan sebagai pertahanan kerana dia mempercayai semua pemain dalam skuad.

“Saya percaya semua pemain dalam pasukan ini dan tidak mempunyai pemain kegemaran kerana semua faham satu sama lain setelah bermain dengan kerap bersama-sama.

“Kami gembira kerana dapat kekalkan dua ‘clean sheet‘ dan ini membuktikan kami melakukan sesuatu yang betul dan ianya menggembirakan saya sebagai penjaga gol dan akan berikan segalanya untuk capai kemenangan Sabtu ini,” jelasnya.

Selangor bakal membuat perhitungan penting untuk ke Asia dengan Kedah sedia menjadi penghalang dan mahu merampas slot terakhir dari Gergasi Merah di hadapan penyokong sendiri.