AHLI Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mencadangkan pihak kerajaan dapat mempertimbangkan supaya bekas pemain bola sepak yang pernah mewakili negara menjadi jurulatih di peringkat sekolah rendah, mahupun sekolah menengah.

Menurut Hisamudin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengadakan satu perbincangan dengan bekas-bekas pemain bola sepak kebangsaan di Hotel Hilton pada 16 Oktober lepas.

Ujarnya lagi, dalam perbincangan bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Amin mereka menyatakan kesediaan untuk menjadi jurulatih di sekolah-sekolah yang berada dalam jarak 5 kilometer dari rumah kediaman masing masing.

“Cadangan ini telah diutarakan oleh Datuk Santokh Singh dalam mesyuarat tersebut. Tujuan utama cadangan ini untuk memastikan pelajar sekolah dapat belajar teknik dengan cara yang betul dalam permainan bidang bola sepak.

“Perkara ini berbangkit susulan daripada maklum balas dan rungutan daripada ibu bapa bahawa guru yang mengajar bola sepak adalah tidak tahu teknik asas permainan bola sepak,” katanya ketika berucap di Dewan Negara hari ini.

No photo description available.

Bagaimanapun, Hisamudin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM berkata, cadangan ini ditujukan khas kepada bekas pemain yang pernah mewakili Malaysia sebanyak 50 kali dan mempunyai sijil kejurulatihan.

“Mereka boleh diberikan elaun sebanyak RM2,000 untuk mengajar di peringkat sekolah rendah dan juga sekolah menengah.

“Kita berharap cadangan ini diterima baik oleh pihak kerajaan dan bola sepak boleh dijadikan sebagai projek rintis untuk skim ini (Kementerian Belia dan Sukan),” katanya mahu sukan bola sepak dijadikan sebagai projek rintis.

ARTIKEL BERKAITAN : Pandangan kumpulan pemain legenda kekal relevan, FAM ingat jasa wira

FLASH SUKAN pada 17 Oktober lepas melaporkan sebuah bilik persidangan besar yang boleh memuatkan 50 orang di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya, seolah-olah bergegar dengan senario menjelang final Pestabola Merdeka.

Atas inisiatif Hamidin, sekumpulan pemain teras Harimau Malaya dipertemukan dengan sekumpulan legenda yang pernah mengharumkan nama Malaysia dalam Pestabola Merdeka.

Datuk Soh Chin Ann mengetuai barisan legenda yang dibawa bertemu dengan Ahmad Syihan Azmi, Faisal Abdul Halim, Akhyar Rashid, Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid dan Darren Lok sebagai sebahagian usaha pengurusan FAM menyuntik semangat skuad Harimau Malaya.