PELUMBA cilik, Maleeq Dragster melakar sejarah muncul anak Malaysia pertama membawa pulang trofi kejuaraan Run Bike Series (RSC) Jepun, musim ke-12 baru-baru ini.
Maleeq atau nama penuhnya, Wan Ayden Maleeq Wan Mohd Muzri, menewaskan pelumba-pelumba dari negara lain seperti China, Jepun, Thailand serta banyak lagi yang mengambil bahagian pada kejohanan yang berlangsung di Tokyo Summerland itu.
Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli berkata, kejayaan pelumba berusia empat tahun itu hasil latihan serta keringat tanpa hentinya dan menjadi kebanggaan buat negara.
“Syukur Alhamdulillah, semuanya dengan izin Allah. Kejayaan Maleeq mencipta sejarah pelumba pertama malaysia menjuarai RCS di Jepun sesuatu yang sukar untuk dluahkan. Kami semua menangis kegembiraan.
“Kejayaan ini membawa kegembiraan dan kepuasaan seorang ayah melihat kejayaan anaknya berlumba dan seterusnya mengharumkan nama negara. Maleeq membuktikan dia tidak putus asa dan berusaha menjadi yang terbaik di Jepun,” katanya, yang juga bapa kepada Maleeq.
Maleeq sebelum ini muncul naib juara Siri Kejuaraan RCS Japan musim ke-11, turut berjaya merangkul Anugerah Top 6 dalam kejohanan sama bagi kategori kanak-kanak berusia empat tahun.
Kedudukan tempat kedua bagi kejohanan itu diraih pelumba dari China, Kang Minghao, manakala wakil tuan rumah, Towa merangkul tempat ketiga.
Dalam pada itu, Wan Mohd Muzri memberitahu, Maleeq menjalani latihan intensif di Pusat Latihan M8 empat kali semingu dan sentiasa memastikan stamina kekal di paras terbaik dengan pelbagai aktiviti di rumah.
Musim 2022 merupakan tahun gemilang Maleeq apabila menjadi juara pelbagai kejohanan seperti Grand Prix Pushbike 2022, Kejuaraan KPBY 2022, Kejuaraan Garuda 2022, Race with Loversary (IBCC) 2022 dan Independent Race (IBCC) 2022.
Malah, Maleeq turut menakluk gelanggang di Thailand dengan menjuarai Racing Central Bangna, Bangkok sebelum menguasai perlumbaan Centre Bike Cup di Vietnam tahun lepas.
Menariknya, Maleeq juga berjaya mengekalkan kejuaraan di Rockfish Thailand dan Siri Pushbike Antarabangsa M8 International Pushbike 2023.