TIADA istilah pemain baharu dan lama dalam Young Tigers, kapten Muhamad Faris Harizan gesa, rakan-rakan bergerak sebagai sebuah pasukan dalam menghadapi kempen Piala Dunia Remaja yang akan bermula Selasa ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Menurutnya, tidak pernah timbul isu perbezaan umur, anggota baharu atau lama dalam pasukan, ketika mereka meletakkan misi mara sejauh mungkin dalam kejohanan kali ini.

“Untuk saya dalam pasukan tak ada junior tak ada senior… semua sama sahaja.

“Kita akan bermain sebagai satu pasukan. Tak ada beza dari segi umur dan sebagainya,” kata Faris.

Skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim berada dalam kumpulan A bersama Argentina, Australia dan Chile, dijadual memulakan kempen menentang Chile pada Selasa.

Faris dalam pada itu berkata, kelebihan bermain di laman sendiri juga menjadi satu kelebihan buat pasukan namun baginya, pasukan harus fokus dengan corak permainan yang diatur meskipun menerima sokongan padu dari penonton.

“Pertama sekali, apabila beraksi di laman sendiri, sudah tentu mahu bagi yang terbaik untuk membuka mata rakyat Malaysia bagi menunjukkan bagaimana tempo permainan di peringkat antarabangsa.

“Setakat ini, kita sudah melalui banyak fasa… sejak Januari lagi banyak yang sudah dilalui dan dari situ, kita ambil pengalaman, kesilapan dan kelebihan yang kita ada untuk bawa ke perlawanan menentang Chile.

“Bagi saya, main di laman sendiri… saya tahu orang akan ramai melihat pasukan kita. Jadi saya tak main untuk penonton tetapi untuk diri sendiri,” kata Faris.