PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memperlihatkan keresahan mengenai keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil empat hari menjelang aksi final Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC.
Tunku Ismail yang menaja projek penukaran padang stadium kebanggaan Malaysia itu berkongsi keadaan terkini padang yang kelihatan tidak bersedia untuk menghadapi perlawanan akhir pada Jumaat selepas ada sebahagian kawasan yang rosak selepas berakhir konsert kumpulan Coldplay minggu lalu.
Dia berkongsi gambar itu menerusi hantaran di instastory peribadinya dengan kapsyen ‘good standard for the final of Malaysia Cup. Looks like your formula is working’ yang ditujukan tepat kepada Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac.
Keadaan padang yang kurang baik di Stadium Nasional Bukit Jalil bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini aksi Pestabola Merdeka 2023 mendapat kecaman daripada orang ramai apabila keadaan padang yang nyata belum matang telah digunakan hingga menjejaskan imej negara.
PSM dan Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) memberi jaminan padang akan berada dalam keadaan terbaik menjelang aksi final Piala Malaysia tetapi berdasarkan gambar yang dikongsi pasti ada jawapan yang perlu diberikan dua pihak berwajib ini kepada TMJ dan penyokong bola sepak tempatan.
JDT layak ke final Piala Malaysia selepas menewaskan Perak FC dengan aggregat 12-2 pada aksi separuh akhir manakala Terengganu FC pula layak selepas mengenepikan cabaran Kuala Lumpur City FC 4-2 secara aggregat.
Tiket-tiket ke perlawanan akhir ini juga hangat bagai pisang goreng panas apabila tiket untuk penyokong Terengganu FC sudah habis dijual manakala hanya tinggal beberapa ribu sahaja untuk penyokong JDT.
Diharap akan ada jalan penyelesaian melibatkan padang dan venue final paling berprestij ini kerana sekali lagi bola sepak dimainkan di atas padang dan padang yang baik akan menjanjikan aksi yang hebat dan melindungi pemain daripada mengalami kecederaan.