JADUAL padat yang terpaksa diharungi Terengganu FC memaksa pengendalinya, Tomislav Steinbruckner melakukan sistem penggiliran pemain bagi memastikan setiap pemain berada dalam keadaan optimum pada hari perlawanan.
Tuntutan perlawanan di peringkat Piala AFC dan final Piala Malaysia menyaksikan Tomislav terpaksa beberapa kali merombak kesebelasan utama bagi memastikan kesemua pemainnya cergas pada aksi final menentang Johor Darul Ta’zim pada Jumaat.
Dia yang ditemui selepas aksi Liga Super menentang Penang FC di Stadium Bandaraya menjelaskan dia terpaksa memberikan peluang kepada pemain muda beraksi bagi memastikan pemain utamanya cergas untuk final Piala Malaysia.
⏳𝟑 𝐇𝐀𝐑𝐈 𝐋𝐀𝐆𝐈
JOHOR DARUL TA'ZIM vs TERENGGANU FC
📆 8 DISEMBER 2023 – JUMAAT
⏰ 9.00 PM
🏟 STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/M8eVPIv0Gt— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) December 5, 2023
“Saya sudah memandang kepada perlawanan Jumaat depan dan saya perlu pastikan pemain dalam keadaan yang cergas. Saya berharap mereka bersedia kerana kami memberi rehat kepada Sony Norde, Ivan Mamut, Habib Haroon, Norhakim Hassan dan Suhaimi Hussin.
“Saya juga berharap kami dapat memberikan saingan pada aksi final kerana kita sedar akan kualiti yang ada pada pasukan JDT tetapi dalam bola sepak terutama final, apa sahaja boleh terjadi,” katanya.
Pengendali asal Croatia itu juga mendedahkan bahawa pasukannya kini meletakkan fokus kepada final Piala Malaysia sebelum Piala AFC kerana ini adalah apa yang dipersetujui oleh pihak pengurusan dalam mesyuarat pasukan sebelum ini.
“Fokus kami adalah Piala Malaysia dan Piala AFC. Kami sudah mengadakan mesyuarat bulan lalu dengan pihak pengurusan dan kami tahu apa yang perlu kami berikan lebih tumpuan dan Piala Malaysia adalah fokus utama kerana kami sudah layak ke final,” jelasnya.
Skuad Penyu bakal kehilangan khidmat pemain tengah berpengaruh, Liridon Krasniqi kerana berstatus pinjaman daripada JDT namun Tomislav percaya pemain-pemain lain mampu menggalas tugas itu dan sedia memberikan kejutan buat juara bertahan itu.
Terengganu FC layak ke final Piala Malaysia selepas mengenepikan cabaran Kuala Lumpur City FC 4-2 secara agregat dan akan cuba memadam igauan buruk tewas di final 2018 menerusi penentuan penalti kepada Perak selepas keputusan terikat 3-3 selepas masa tambahan.