MALAYSIA membuka saingan Piala Dunia Remaja dengan pesta jaringan, apabila membelasah Chile, 7-1.
Beraksi di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang hadir menonton perlawanan pembukaan itu, Young Tigers tampil bersemangat.
Bersaksikan kira-kira 3,000 penonton yang hadir, skuad negara memperoleh lebih 10 pukulan sudut penalti.
Perlawanan bermula perlahan dengan permainan berhati-hati dipamerkan, namun skuad bimbningan Muhammad Amin Rahim lebih menyinar apabila memperoleh tiga tiga pukulan sudut penalti.
Gol dicari akhirnya menjelma, susulan kegagalan pukulan sudut penalti ketiga, apabila Mohammad Harris Iskandar Osman melepaskan pukulan kencang betul-betul di hadapan penjaga gol Chile, Julian Villanueva untuk Young Tigers memimpin perlawanan pada minit ke-14.
Pada suku kedua, hanya satu gol berjaya dihasilkan menerusi jaringan Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar (minit ke-23), sebelum pesta jaringan bermula di suku ketiga.
Bermula dengan jaringan Chile menerusi pukulan sudut penalti Sebastian Wolansky pada minit ke-34, skuad negara memperoleh tiga gol tambahan, masing-masing menerusi Andywalfian Jeffrynus (m36), Almilmuizzuddin Misron (m39) dan Mmohammad Shamir Rizmi Shamsul (m41), mengubah kedudukan menjadi 5-1 .
Bagaikan harimau lapar, suku keempat dimulakan dengan pukulan sudut penalti dua kali berturut-turut yang menghasilkan jaringan keenam.
Kali ini giliran Shahmie Irfan Suhaimi meledakkan pukulan deras pada minit ke-47, mengubah kedudukan 6-1 sebelum skuad negara dianugerahkan penalti strok yang disudahkan Shahmie Irfan Suhaimi, pada minit ke-55, menjadikan kedudukan 7-1.
Esok, skuad negara akan berdepan Argentina, yang menewaskan Australia 1-0.