INSIDEN dibuang padang selepas dilayangkan kad merah ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super, Jun lalu, sudah dilupakan penjaring terbanyak Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut.
Penyerang tinggi lampai berasal Croatia itu sebaliknya menegaskan pengalaman itu telah mematangkan permainannya terutama menjelang aksi getir bertemu lawan sama pada final Piala Malaysia, Jumaat ini.
Menurut Mamut, dia turut bersedia sebagai pemain profesional ‘melayan’ provokasi atau helah pihak lawan dan mahu fokus kepada permainan bagi memastikan TFC mampu melakar kejutan.
“Saya mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan dan budaya bola sepak di negara ini namun insiden itu sudah berlalu dengan TFC kini melangkah ke final.
“Sebagai penyerang sudah tentu tugas saya adalah menjaringkan gol walaupun dalam masa sama sedar JDT merupakan pasukan gergasi dengan barisan pemain yang serba lengkap.
“Tetapi itu bukan alasan kerana di pentas final, kedua-dua pasukan ada peluang sama rata dan saya berhasrat membantu TFC menjulang trofi dalam tahun pertama di Malaysia,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Menyedari pergerakannya akan dikawal rapi benteng JDT, Mamut berkata, siapa yang menjadi penjaring gol bukan lagi keutamaan di pentas akhir sebaliknya mengutamakan kejayaan pasukan.
Malah pemain itu juga enggan dibandingkan dengan penyerang JDT, Bergson Da Silva, apabila ditanya impak jentera serangan kedua-dua pasukan akan mempengaruhi permainan.
“Ini adalah tahun pertama saya bersama TFC dan melangkah ke final membuktikan kami ada kualiti tersendiri, siapa pun menjaringkan gol tidak penting asalkan kami muncul juara,” ujarnya.