YOUNG Tigers menetapkan sasaran baharu, selepas impian ke suku akhir Piala Dunia Remaja 2023, ranap dek menerima kekalahan kedua dalam saingan kumpulan A.
Kesilapan membenarkan tiga gol dalam suku pertama ketika tewas 2-5 kepada Australia, menyaksikan ketua jurulatih, Muhammad Amin Rahim, menetapkan sasaran untuk menamatkan saingan di kedudukan kesembilan.
“Tiga gol dalam suku pertama secara moralnya, memang semangat pemain drop.
“Konsistensi ni memang kerap berlaku dalam skuad kebangsaan dan kami tidak boleh menyalahkan sesiapa.
“Setiap individu kena ada tanggungjawab dalam padang, kena buat yang terbaik,” kata Amin, dalam sidang media selepas tamat perlawanan.
Kekalahan itu menyaksikan skuad negara hanya menduduki tangga ketiga dengan mengumpul tiga mata selepas dua kekalahan daripada tiga perlawanan dan bakal beraksi pada perlawanan klasifikasi sembilan hingga 16 menentang pasukan tercorot Kumpulan B, Mesir, Isnin ini.
Australia pula mengikuti jejak langkah pendahulu kumpulan, Argentina ke suku akhir, selepas pasukan dari dari Amerika Selatan meraih maksimum sembilan mata.
Bala buat skuad negara bermula apabila Australia memperoleh gol seawal minit ke-2 menerusi pukulan sudut penalti Cooper Burns sebelum gol kedua dan ketiga hadir menerusi Jake Lambeth (m6) dan Cambell Geddes (m15).
Penyerang negara, Mohammad Harris Iskandar Osman menghidupkan kembali peluang Young Tigers apabila menampan kemas hantaran jauh rakan senegara, Azmilmuizzuddin Misron masuk ke gawang lawan sekali gus menewaskan penjaga gol Australia, Oliver Higgins minit ke-21.
Bagaimanapun kebangkitan yang diharapkan menerusi gol itu berkecai selepas Australia menambah satu lagi gol menerusi jaringan padang Lambeth minit ke-27.
Bersambung separuh masa kedua, penyerang negara, Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini menghadiahkan gol kedua minit ke-44 apabila menampan masuk hantaran jauh rakan sepasukan, Wan Muhammad Najmie Ahmad Dzaib.
Namun sekali lagi kebangkitan yang diharapkan tidak berlaku, sebaliknya Australia berjaya menambah gol kelima menerusi pukulan sudut penalti Geddes seminit kemudian.
Skuad negara menggadakan asakan pada suku terakhir apabila beberapa kali cuba untuk memasuki kawasan D lawan namun Australia dapat bertahan dengan baik.
“Kita tidak memanfaatkan peluang dan memberi lawan menguasai perlawanan.”