JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu selepas menewaskan Terengganu FC 3-1 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Tambah manis, kejayaan memenangi piala berprestij itu buat kali kedua berturut-turut memastikan JDT menamatkan musim dengan menyapu bersih keempat-empat trofi domestik dan bergelar ‘Double Quadruple’ selepas melakukan perkara yang sama musim lalu.
Meskipun beraksi dalam keadaan yang kurang memuaskan, JDT mendahului seawal minit keenam menerusi Bergson Da Silva yang menyempurnakan penalti selepas Fernando Forestieri dijatuhkan Azam Azmi Murad dalam petak penalti.
Final Piala Malaysia 2023
FT: Johor Darul Ta'zim 3-1 Terengganu FC
⚽️ Bergson Da Silva 6'(P), Feroz Baharudin 73', Arif Aiman 90'+3(P)
⚽️ Ivan Mamut 21'(P)*Johor Darul Ta'zim muncul juara Piala Malaysia 2023#PialaMalaysia2023 #LuaskanKuasamuJohor#petehganupeteh pic.twitter.com/m6JLGTYezF
— Flash Sukan (@FlashSukan) December 8, 2023
Perlawanan yang berlangsung dalam cuaca hujan itu menyaksikan kedua-dua pasukan bermain dengan berhati-hati namun tidak merencatkan kerancakan aksi final yang disaksikan 80,550 orang penyokong.
Terengganu FC tidak mahu mengalah dan Ivan Mamut berjaya memperdaya Jordi Amat yang kemudiannya melakukan kesilapan menjatuhkan Mamut dan pengadil memberikan penalti yang mudah disempurnakan pada minit ke-21 dan kedudukan 1-1 kekal hingga tamat babak pertama.
JDT terpaksa membayar harga yang mahal apabila dua tonggak pertahanan, Corbin Ong dan Shane Lowry terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan digantikan dengan Syahmi Safari dan Feroz Baharudin.
Kemasukan Feroz nyata membawa tuah buat Harimau Selatan apabila dia melonjak tinggi menanduk bola sepak sudut Heberty Fernandes pada minit ke-73 untuk memberikan kelebihan 2-1 kepada JDT.
Pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner melakukan beberapa pertukaran dengan membawa masuk Liridon Krasniqi untuk menambah tekanan kepada JDT dan mencari gol penyamaan.
Esteban Solari juga memasukkan dua pemain tengah berpengalaman, Safiq Rahim dan Natxo Insa untuk memastikan barisan tengah JDT kekal tenang pada lima minit terakhir permainan untuk mengekalkan kelebihan yang ada.
Ketika perlawanan hampir berakhir, JDT sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti apabila Arif Aiman dijatuhkan dan dia menyempurnakan penalti untuk gol ketiga sekaligus gol kemenangan buat JDT.
Kemenangan itu mengesahkan JDT sebagai juara Piala Malaysia untuk tahun kedua berturut-turut dan terus menambah kemarau kejuaraan Terengganu FC kepada 22 tahun.