PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui dia ada sedikit membantah tindakan Arif Aiman yang mahu mengambil penalti kedua yang diberikan kepada Harimau Selatan pada lewat permainan kerana mahu melindungi pemain muda itu dari kecaman penyokong sekiranya dia gagal menjaringkan gol.

Pemain berusia 32 tahun ini bagaimanapun percaya dengan kebolehan yang ada pada Pemain Paling Bernilai itu dan bersyukur kerana sepakan Arif menemui jaring sekali gus mengangkat dirinya sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

“Saya ada sedikit bantahan dengan Arif kerana permainan ini sedikit sukar. Saya sayangkan dia tetapi dia masih muda dan jika dia gagal sempurnakan penalti serta lawan lakukan serangan balas dan jaringkan gol, semua penyokong akan marah kepadanya.

“Atas sebab itu saya cuba galas tanggungjawab itu kerana saya adalah penendang penalti pertama pasukan dan sudah berusia 32 tahun tetapi syukur dia berjaya jaringkan gol.

“Saya percaya padanya tetapi dalam situasi permainan ini ianya risiko yang besar untuk pemain muda sepertinya tetapi Arif adalah pemain yang cukup baik dan banyak membantu pasukan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Bergson turut mengakui perlawanan akhir kali ini sangat sukar dengan Terengganu yang menggunakan taktikal parkir bas dan keadaan padang yang teruk namun dia tetap berusaha untuk memastikan Harimau Selatan bergelar juara buat kali kedua berturut-turut.

“Sejujurnya kami tahu betapa sukarnya perlawanan ini dari minit pertama dengan keadaan padang yang teruk tetapi kami tidak mempunyai sebab untuk mengeluh sebaliknya jadikannya motivasi kerana ini adalah tugas kami dan kami lakukan dengan baik dan gembira dengan satu lagi kejuaraan.

“Perbezaan antara kedua-dua pasukan pada pendapat saya adalah sikap. Mereka mulakan perlawanan dengan memarkir bas dan hanya menunggu kami melakukan kesilapan yang mana kami lakukan tetapi kami bangkit menyerang mereka dari sayap dan cipta lebih peluang dan akhirnya kami menang perlawanan ini.

 

“Saya lebih suka dengan pasukan yang tewas dengan mencuba dan memberikan masalah pada pasukan lawan. Jika saya boleh memilih satu cara untuk kalah adalah dengan berjuang dan bukan hanya menunggu lawan melakukan kesilapan,” jelasnya.

Bergson membuka tirai jaringan menerusi penalti pada minit keenam sebelum Feroz Baharudin dan Arif Aiman melengkapkan jaringan masing-masing untuk memastikan JDT muncul juara dan melengkapkan misi ‘Double Quadruple’ yang mencipta sejarah baharu bola sepak tempatan.