KAPTEN pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat gembira dengan kejayaan merangkul kejuaraan secara empat kali berturut-turut pada musim ini.
Menurut Jordi, perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Terengganu FC pada Jumaat telah menghasikan pelbagai emosi di padang kerana tentangan sengit yang diberi oleh pihak lawan agak berbahaya buat mereka.
Walau Terengganu menurunkan beberapa pemain muda seperti Engku Nur Syakir dan Ubaidullah Shamsul, namun kekuatan mereka masih tidak dapat menundukkan juara bertahan iaitu JDT.
“Kami memang layak untuk menang kerana kita juga telah berkerja keras hingga ke titisan penamat dan saya amat gembira dengan kemenangan ini.
“Tidak normal buat JDT jika terpaksa menerima kekalahan pada musim ini dan kita akan cuba untuk terus kekalkan sejarah yang telah dicipta ini.
“Ini merupakan tahun yang panjang dan sekarang tiba waktunya untuk kita sambut kemenangan yang berjaya dirangkul terutamanya matlamat yang diingini oleh TMJ.
“Saya sangat gembira berada dalam perjalanan yang cukup bermakna bersama JDT dan berbaki dua perlawanan ini kami tidak akan berhenti berputus asa,” ujarnya kepada media.
Soal kejadian padang yang menjadi tumpuan utama Jordi sebelum ini, dia berharap agar pihak sepatutnya mampu menyelesaikan isu tersebut segera kerana baginya, Malaysia harus seiring dengan perkembangan dan perlu lakukan tambah baik dari segi padang untuk hasilkan mutu permainan yang lebih berkualiti daripada setiap perlawanan.