KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari tetap dalam ‘mode‘ serius dalam melakukan persiapan bagi menghadapi kelab dari Thailand, BG Pathum United FC pada aksi terakhir saingan Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada petang esok.

Menurut Solari yang menganggap aksi berkenaan sebagai satu perlawanan yang tidak memberi sebarang kelebihan tatkala kedua-dua pasukan itu sudah tidak layak beraksi di pusingan 16 pasukan terbaik, beliau tetap akan meneruskan perjuangan bagi menjaga maruah pasukannya.

Tambahnya, JDT tetap bersikap berwaspada dengan ancaman skuad kendalian Surachai Jaturapattarapong yang pasti mahu menebus kekalahan lepas tatkala mereka bukanlah calang-calang pasukan apabila berada di kedudukan kedua Liga 1 Thailand (Liga 1 Thai).

“Mereka dibarisi pemain berkualti dalam pasukan itu malah sepanjang 12 perlawanan liga di Thailand, mereka hanya tewas satu perlawanan dan untuk berdepan mereka kali kedua sudah tentu mencabar kerana setiap aksi ACL memang menyukarkan.

“Tapi agak malang apabila saya terpaksa melupakan dua tonggak utama iatu Corbin Ong dan Shane Lowry yang perlu disisihkan dalam perlawanan malam esok selepas mengalami kecederaan ketika aksi final Piala Malaysia, baru-baru ini dan semuanya akibat padang yang teruk di Stadium Nasional, Bukit Jalil,” katanya dalam sesi sidang media.

Bagaimanapun, Solari tidak menafikan barisan pemain BG Pathum perlu diberi perhatian terutama pemain yang bersama skuad kebangsaan Thailand selain kelibat barian pemain import yang berkualiti dan mampu beri ancaman ke kubu JDT.

“Pemain seperti Danilo (Alves) dan Igor Sergeyev selain mereka dibarisi pemain pertahanan yang baik namun kami akan turun beraksi seperti biasa yang mengamaikan corak berintentisi tinggi dan menyerap apa jua kekuatan pasukan lawan bagi mengimbangi corak permainan yang mantap,” kata Solari.