SELEPAS mengesahkan sambungan kontrak pengendali, Tomislav Steinbruckner, Terengganu FC mengesahkan sambungan kontrak tiga pemain muda meningkat naik sehingga musim 2026.

Tiga pemain itu, Safwan Mazlan, Ubaidullah Shamsul Fazili dan Syahmi Zamri telah menandatangani kontrak baharu yang mengekalkan mereka di Terengganu sehingga tahun 2026 yang disahkan menerusi hantaran yang dilakukan di laman sosial rasmi kelab.

Ketiga-tiga pemain ini dianggap Tomislav sebagai prospek masa depan Terengganu dan juga Harimau Malaya kerana mempunyai kualiti yang baik seperti mana ditunjukkan mereka sepanjang musim 2023 ini.

“Tiga pemain muda Terengganu FC, Muhammad Safwan Mazlan, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili dan juga Muhammad Syahmi Zamri memutuskan untuk terus kekal bersama kelab ini dan menandatangani kontrak jangka panjang untuk kekal sehingga 2026.

“Pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner menyatakan ketiga-tiga orang pemain muda ini adalah prospek penting dalam pelan beliau bersama Terengganu FC dan beliau melihatkan pemain ini dan beberapa pemain lain mempunyai kualiti untuk menyarung jersi kebangsaan pada masa akan datang.

“Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada ketiga-tiga pemain ini kerana terus setia bersama pasukan dan terus bersemangat untuk kekal berjuang bersama Terengganu FC,” tulis kenyataan itu.

Safwan dan Ubaidullah adalah produk pemain muda Terengganu yang diberi kepercayaan oleh Tomislav untuk membentuk bek berempat muda tempatan yang berjaya menarik minat pemerhati bola sepak negara.

Syahmi pula adalah penyerang muda yang semakin menyerlah dan berjaya menjaringkan beberapa gol penting buat Terengganu termasuk dalam saingan Piala AFC dan dilihat mampu menggalas tugas sebagai penyerang baharu skuad kebangsaan selepas ini.

Terengganu kini dalam proses mengakhiri kempen 2023 dan dilihat sudah bersedia untuk menghadapi musim 2024-25 dengan pengumuman jurulatih dan kontrak lanjutan yang menggembirakan penyokong skuad Penyu.