MENAMBAH tenaga kepakaran sains sukan sendiri, menjalani latihan awal di Paris, menjadi antara perancangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), menjelang saingan temasya sukan terbesar Olimpik 2024.

Semua perancangan itu adalah menjurus kepada perburuan pingat emas pertama di temasya sukan empat tahun sekali itu.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan itu pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Setiausaha Agung BAM, Kenny Goh hadir pada mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

“Perbincangan kami lebih kepada persediaan atlet untuk pastikan mereka cukup bersedia di Paris nanti. Antaranya adalah kem latihan di Malaysia dan juga di Paris seminggu sebelum bermulanya kejohanan.

“Selain daripada itu, kami juga mengadakan perbincangan hal teknikal dan sokongan sains sukan untuk pastikan pemain yang layak (ke Paris) nanti, bersedia 100 peratus.

“Di pihak pengurusan, apa yang boleh kami buat adalah memberi sokongan kepada pemain dalam konteks latihan dan sains sukan,” katanya ketika ditemuidi pejabat Majlis Sukan Negara (MSN).

Pemain badminton dari BAM dan profesional yang pernah berada dan masih berada di bawah program RTG, ketika menjalani latihan bersama di Akademi Badminton Malaysia (ABM), sebelum ini.

Dalam pada itu, Kenny turut mengakui bahawa skuad negara memerlukan tambahan pakar psikologi untuk menguatkan mental apabila beraksi di tahap tertinggi.

“Sudah tentu jika kami rasa memerlukannya, kami akan tambah perkhidmatan itu tetapi buat masa ini, kami rasa ISN sudah banyak membantu daripada aspek sokongan mental kepada pemain,” katanya.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi tonggak harapan BAM.

Jelas Kenny lagi, pihaknya turut mengharapkan barisan pemain untuk memperbaiki kedudukan ranking masing-masing bagi membolehkan mereka memperoleh undian lebih baik di Paris.

“Selain aspek sains sukan, kami juga perlu tahu perkara membabitkan teknikal iaitu bila akan berlakunya undian kejohanan (Olimpik).

“Bermakna daripada aspek latihan harian dan sokongan, kami perlu pastikan setiap pemain mencapai ranking yang berpatutan untuk mendapat undian lebih baik,” katanya.